Permintaan kargo udara global kembali pulih pada 2023 - IATA

Bernama
Januari 31, 2024 23:06 MYT
Pasaran pengangkutan udara global menunjukkan permintaan kargo udara kembali pulih pada 2023 dengan prestasi suku keempat yang kukuh. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasaran pengangkutan udara global menunjukkan permintaan kargo udara kembali pulih pada 2023 dengan prestasi suku keempat yang kukuh walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi, permintaan setahun mencecah paras rendah sedikit di bawah berbanding tahun 2022 dan 2019, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dalam satu kenyataan hari ini, IATA berkata permintaan tahun penuh global pada 2023, diukur dalam kargo tan bagi setiap kilometer (CTK), turun 1.9 peratus berbanding 2022 (-2.2 peratus untuk operasi antarabangsa) manakala berbanding 2019, ia turun 3.6 peratus (-3.8 peratus untuk operasi antarabangsa).
Ia berkata kapasiti pada 2023, diukur dalam kargo tan kilometer tersedia (ACTK) adalah 11.3 peratus di atas 2022 (+9.6 peratus untuk operasi antarabangsa) dan berbanding tahap 2019 (sebelum pandemik), kapasiti meningkat 2.5 peratus (0.0 peratus untuk operasi antarabangsa).
"Disember 2023 menyaksikan prestasi yang sangat kukuh dengan permintaan global mencatatkan 10.8 peratus di atas paras 2022 (+11.5 peratus untuk operasi antarabangsa) "Ini adalah prestasi pertumbuhan tahunan paling kukuh sejak dua tahun lalu. Kapasiti global adalah 13.6 peratus di atas paras 2022 (+14.1 peratus untuk operasi antarabangsa)," katanya.
"Walaupun permintaan setahun penuh kurang daripada tahap sebelum pandemik sebanyak 3.6 peratus, pengukuhan ketara pada suku terakhir adalah petanda bahawa pasaran stabil ke arah corak permintaan yang lebih normal.
"Itu meletakkan industri di landasan yang sangat kukuh untuk mencatatkan prestasi baik pada tahun 2024. Tetapi akibat ketidakstabilan dalam geopolitik dan ekonomi, ia akan memberi kesan untuk beberapa bulan akan datang," kata Ketua Pengarah IATA Willie Walsh.
Dalam pada itu, IATA menegaskan bahawa pada bulan November dan Disember, kargo udara mengalami peningkatan sederhana dalam permintaan dan susulan kejadian yang berlaku di Laut Merah, manakala data untuk separuh terakhir Disember menunjukkan normalisasi permintaan dan hasil.
-- BERNAMA
#permintaan kargo udara global #Pulih #IATA #Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa
;