Permintaan dana pelaburan ESG di Malaysia rendah
Nabilah Khaleeda
Disember 4, 2022 16:17 MYT
Disember 4, 2022 16:17 MYT
KUALA LUMPUR: Permintaan dana pelaburan buat sentimen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di Malaysia masih berada di paras rendah.
Menurut Pengarang The Edge bahagian ESG, Tan Zhai Yun (Nat), kebanyakan permintaan datangnya daripada individu bernilai bersih tinggi dan pelabur institusi.
“Dalam memastikan Malaysia bawa masuk dana yang lebih banyak, pelabur runcit harus mula pertimbangkan untuk melabur demi meningkatkan jumlah permintaan dana ESG negara.
“Inisiatif pelaburan ini juga dapat melindungi mereka daripada potensi risiko pada masa akan datang,” katanya.
Tambah Nat lagi, antara yang menjadi punca ialah pelabur Malaysia terlalu fokus kepada pulangan kewangan sebagai perkara pertama dalam kegiatan pelaburan mereka.
“Namun jika mereka berpandangan jauh, langkah untuk melabur dalam pelaburan dana ESG hanya akan membantu mereka mengurangkan risiko yang berkemungkinan akan datang,” ujarnya dalam temu bual program Niaga AWANI pada Jumaat.
Walaubagaimanapun, Nat menjangkakan amalan ESG di Malaysia akan kekal kukuh, dan pada masa kini ia lebih kepada faktor tolakan.