Permatang Pauh: 'Cabar keputusan SPR di mahkamah kalau mahu Anwar mengundi' - Ismail Sabri

Wan Syamsul Amly
April 29, 2015 10:33 MYT
ISMAIL SABRI: PRK P.Pauh: 'Sila cabar di mahkamah kalau mahu Anwar mengundi' - Gambar fail
PKR diminta menggunakan saluran mahkamah untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyifatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan untuk mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh Mei depan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menggunakan mahkamah juga dilihat satu kefahaman umum yang ada pada setiap parti jika ada keraguan yang dilihat munasabah untuk dicabar.
"PKR boleh mencabar di mahkamah jika ada perbezaan interpretasi undang-undang.
"Bagaimanapun untuk pengundian ini SPR berhak untuk tidak membenarkan Anwar mengundi berdasarkan interpretasi mereka.
"Ia tertakluk di dalam kuasa SPR sehinggalah mahkamah memutuskan sebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ismail mengulas dakwaan Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran yang berkata menurut Perlembagaan Persekutuan, seseorang tidak layak mengundi sekiranya ketika memohon untuk mendaftar sebagai pengundi, individu itu berstatus banduan.
Surendran sekali gus mendakwa SPR salah apabila memutuskan Anwar sebagai seorang banduan dan tidak berhak mengundi pada PRK Permatang Pauh.
Surendran turut menegaskan, tindakan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang tidak membenarkan Anwar keluar mengundi juga bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan.
Terdahulu, SPR dalam kenyataannya memberitahu Anwar yang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya, hilang kelayakan untuk membuat pengundian bagi PRK Permatang Pauh.
Kata kenyataan itu, Anwar hilang kelayakan untuk mengundi pada PRK yang akan diadakan pada 7 Mei itu berdasarkan Perkara 119 (3) Perlembagaan Persekutuan.
BACA: PRK P.Pauh: Desakan Anwar mengundi strategi PKR raih simpati - Reezal
Pada Ahad, naib PKR, Nurul Izzah memohon supaya diberikan kelonggaran kepada bapanya untuk mengundi.
Katanya, permintaan itu sejajar dengan saranan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Julai 2013, bahawa kementerian sedang mengkaji mekanisme yang sesuai membolehkan banduan mengundi pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, pada 22 Julai 2013, Ahmad Zahid dilaporkan berkata antara aspek yang perlu diteliti ialah mengenai undang-undang yang diperuntukkan di bawah SPR untuk membenarkan banduan mengundi.
Dalam pada itu sebuah portal melaporkan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, tindakan SPR yang tidak membenarkan Anwar mengundi dalam PRK Permatang Pauh pada 7 Mei nanti adalah bukti badan pengendali pilihan raya itu bersikap partisan.
Bagaimanapun, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamad ketika dipetik sebuah portal berkata tindakan PKR yang mahu Anwar dibenarkan mengundi adalah strategi meraih undi simpati.
Jelasnya, PKR mahu kemunculan Anwar pada hari mengundi nanti akan menarik perhatian penduduk khususnya yang masih tidak dapat membuat keputusan calon wakil rakyat di kawasan tersebut.
#Anwar #Ismail Sabri #Permatang Pauh #UMNO #Wan Azizah
;