Permata Pintar lahir pelajar cemerlang di usia muda

Bernama
Mei 8, 2017 00:05 MYT
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor merangkap Penaung Permata beramah mesra dengan para pelajar program Permata Pintar bersama pelajar Permata Pintar dan peserta Bengkel Permata Science Institute pada Ahad. - Foto Bernama
Seramai 15 pelajar perintis Kolej Permata Pintar yang dilancarkan enam tahun lepas bukan sahaja tamat pengajian sarjana muda di usia muda, malah kini ada yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah.
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Penaung Permata, berkata seorang daripada mereka sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dan lapan orang lagi di peringkat sarjana.
Khoo Jia Hui kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di United Kingdom, sedang mengikuti pengajian bidang biokimia di University of Oxford, katanya.
Rosmah berkata demikian pada majlis makan tengah hari bersama pelajar Permata Pintar dan peserta Bengkel Permata Science Institute di sini Ahad.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Rosmah berkata untuk peringkat sarjana, empat orang sedang belajar di Amerika Syarikat dan tiga lagi di universiti di Malaysia.
Sementara yang lain telah bekerja termasuk seorang telah memulakan karier di sebuah syarikat berasaskan teknologi ternama dunia iaitu di Apple Inc, katanya.
Beliau berkata pada masa ini terdapat 26 lagi pelajar Permata Pintar yang sedang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi berprestij di United Kingdom di peringkat sarjana muda.
Antara bidang yang diambil ialah ekonomi, kejuruteraan dan perubatan dengan bantuan tajaan daripada Petronas, Jabatan Perkhidmatan Awam , Majlis Amanah Rakyat dan Khazanah Nasional Berhad, katanya.
#Oxford #permata pintar #Rosmah Mansor