Permasalahan hari ini harus diperbetulkan dari akarnya - Jahaberdeen
Israr Khalid
Julai 27, 2021 06:16 MYT
Julai 27, 2021 06:16 MYT
KUALA LUMPUR: Kebanyakan perbincangan hari ini lebih kepada mencari penyelesaian kepada krisis yang timbul dek pandemik COVID-19 yang membadai sejak hampir dua tahun yang lalu.
Bagaimanapun pengasas Pergerakan RAPERA, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos melihat semuanya tidak akan seteruk ini sekiranya kita mempunyai asas yang kukuh dalam pelbagai perkara di negara ini.
Maka dalam kita berusaha merawat permasalahan yang wujud, akar atau punca yang menyebabkan kepincangan kita dalam menguruskan krisis ini harus didalami, dikenal pasti dan diperbetulkan
“Kita selalu ‘memadamkan api’ tetapi perkara yang tidak pernah dibincangkan ialah kenapa berlakunya keadaan sedemikian, kenapa ahli politik kita tidak matang dan sebagainya.
“Pandemik COVID-19 ini perlu diambil iktibar untuk mengkaji balik adakah asas-asas dalam masyarakat kita ini kukuh atau tidak, adakah institusi-institusi di Malaysia ini kuruh atau tidak, analisis dan kenal pasti apakah kelemahan-kelemahan atau kegagalan struktur dalam masyarakat kita,” katanya.
Antara kelemahan yang dilihat adalah dari segi pendidikan, pengamatan undang-undang, kualiti pemimpin yang dilahirkan dan kualiti rakyat negara ini sendiri dan kita perlu berganjak dari tampuk lama.
Jika tidak, jelas beliau, sampai bila-bila pun kita akan terus ‘memadamkan api’ dalam kitaran krisis yang tidak berkesudahan.
Manusia sejak azali memang memiliki daya tahan untuk mengharungi benda-benda yang kononnya baharu.
Maka, kata Jahaberdeen, kita tidak boleh menggunakan alasan bahawa ini (COVID-19) adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Memang ini satu jenis wabak yang baharu, tetapi wabak bukanlah sesuatu yang baharu dalam sejarah manusia.
“Soalannya kenapa kita gagal hari ini adalah disebabkan semalam kita tidak wujudkan asas yang kukuh.
“Saya seorang yang percaya akan peranan institusi, dan saya percaya jika institusi yang ada di Malaysia ini kukuh, maka insya-Allah apa sahaja masalah yang kita hadapi pun boleh diharungi dengan baik.”
Akar kepada segala permasalahan ini perlu dikenal pasti dan ditangani - Jahaberdeen
#Agenda Awani
#Jahaberdeen Mohamed Yunoos
#RAPERA
#COVID-19
#kegagalan struktur dalam masyarakat
#kenal pasti kelemahan