Permaisuri Johor berangkat ke Kuala Lumpur
Luqman Hariz
Januari 29, 2024 14:41 MYT
Januari 29, 2024 14:41 MYT
SENAI: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berangkat ke Kuala Lumpur secara rasmi hari ini.
Baginda diiringi oleh Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda di Hangar Diraja Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Baginda turut diiringi Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani, Ketua Polis Johor, CP M Kumar, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri Johor.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-17, pada Rabu depan.
Ia selepas Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) bersetuju mengisytiharkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu pada 27 Oktober lalu.