Permaisuri Agong sampaikan bantuan persekolahan kepada anak yatim
Bernama
Disember 31, 2012 12:00 MYT
Disember 31, 2012 12:00 MYT
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan menyampaikan bantuan persekolahan kepada 306 orang anak yatim dari empat daerah di Kedah.
Penyampaian bantuan sumbangan Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah itu berlangsung di Istana Seri Pelangi di sini.
Anak-anak yatim tersebut adalah pelajar sekolah rendah dan menengah dari daerah Kuala Muda, Sik, Baling dan Kota Setar.
Pada majlis itu baginda juga berkenan memberi sumbangan khas kepada anak-anak yatim yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012.
Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah, Datuk Rosli Awang berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban keluarga anak-anak yatim dalam menyediakan persiapan persekolahan.
Raja Permaisuri Agong sangat prihatin dan sentiasa meluangkan masa untuk anak-anak yatim dan menyalurkan bantuan melalui Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah bagi meringankan beban keluarga-keluarga miskin, katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Seorang ibu tunggal, Safinar Mohammad Yusof, 39, amat bersyukur kerana tiga anaknya
yang berumur tujuh hingga 17 tahun mendapat bantuan itu.
"Sejak kematian suami Julai lepas, saya mengambil upah menoreh getah dan dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan itulah digunakan bagi belanja harian dan persekolah anak-anak saya," katanya.
Siti Rozizawati Zaidi, 28, yang memperoleh pendapatan RM20 sehari dengan mengambil upah membersih sayur di sebuah kedai di Baling jelas amat terharu dengan bantuan yang amat diperlukan anaknya.
"Terima kasih kepada Raja Permaisuri atas keprihatinan baginda terhadap anak-anak yatim," katanya yang berpisah dengan suaminya hampir empat tahun lalu.