PERMAI: Sabah mahu dapat keutamaan dalam semua inisiatif - Hajiji

Eleanor Michelle Patrick
Januari 20, 2021 14:01 MYT
Hajiji berkata, Sabah antara negeri yang terjejas teruk akibat kesan pandemik berkenaan. - Foto Bernama.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memastikan negeri itu mendapat keutamaan dalam semua inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan Kerajaan Pusat untuk mengurangkan impak ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, negeri ini antara yang terjejas teruk akibat kesan pandemik berkenaan dan akan mengadakan kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan.
"Sabah adalah antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik ini, oleh itu kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Putrajaya untuk memastikan kita diutamakan dalam semua inisiatifnya," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua hari lalu.
Hajiji berkata Pakej Bantuan PERMAI yang merangkumi 22 inisiatif untuk memerangi COVID-19 dan memelihara kebajikan rakyat serta menyokong kesinambungan perniagaan, pasti akan membantu meringankan kesusahan yang dihadapi rakyat Malaysia pada masa yang sukar ini.
Beliau mengakui jalan ke arah pemulihan tidak mudah kerana kesan global pandemik terhadap ekonomi.
"Tetapi, jangan lakukan kesilapan, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah akan mengambil segala kemungkinan untuk memastikan ekonomi Sabah pulih," katanya.
#PERMAI #Sabah Permai #Hajiji Noor #Sabah mahu jadi keutamaan #utamakan Sabah
;