PERMAI: Peminjam MARA boleh mohon penjadualan semula, moratorium pinjaman
Astro Awani
Januari 18, 2021 17:20 MYT
Januari 18, 2021 17:20 MYT
PUTRAJAYA: Peminjam kemudahan pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) boleh memohon penjadualan semula atau moratorium bayaran balik pinjaman sehingga 31 Mac 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia susulan keputusan agensi berkenaan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind 2.0.
"Sebagai tambahan, usahawan MARA yang terkesan akibat COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bencana banjir boleh membuat permononan dalam Program Penjadualan Semula Pembiayaan Perniagaan MARA.
"Selain itu, bagi penyewaan premis perniagaan, MARA bersetuju untuk memberi diskaun 30 peratus bagi tempoh enam bulan mulai November 2020 hingga April 2021," katanya ketika pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) di sini, pada Isnin.
Muhyiddin turut menyarankan lebih banyak agensi dan syarikat untuk turut menawarkan penjadualan semula pinjaman dan diskaun sewa premis perniagaan.
"Bagi mengurangkan bebanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Kerajaan telah memberi potongan cukai khas kepada syarikat yang memberi pengurangan sewa premis perniagaan sekurang-kurangnya 30 peratus mulai 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021," jelasnya.
Berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa, katanya, potongan khas ini akan diperluaskan untuk meliputi pengurangan sewaan yang diberi kepada syarikat bukan PKS.
"Tempoh potongan khas ini juga akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021. Selain itu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan mengecualikan levi majikan bagi syarikat yang tidak dapat beroperasi semasa tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya lagi.
#PERMAI
#Peminjam MARA
#penjadualan semula
#moratorium pinjaman
#bayaran balik pinjaman
#MARA PRIHATIN
#Peace of Mind
#usahawan MARA
#bencana banjir
#penyewaan premis perniagaan