PERMAI: Majikan yang beroperasi boleh mohon Program Subsidi Upah 3.0

Hasimi Muhamad
Januari 18, 2021 17:50 MYT
Jelas Perdana Menteri, kerajaan menambah baik program berkenaan memandangkan ia mendapat maklum balas sebagai antara inisiatif yang berkesan. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Semua majikan yang beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak memohon Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia tertakluk kepada semua majikan tanpa mengira sektor perniagaan.
Jelas Perdana Menteri lagi, kerajaan menambah baik program berkenaan memandangkan ia mendapat maklum balas sebagai antara inisiatif yang berkesan.
"Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja bergaji kurang daripada RM4,000.
"Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.
"Inisiatif ini membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dan dijangka memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih 2.6 juta pekerja," katanya ketika mengumumkan Pakej Bantuan Khas, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata kerajaan turut bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan (SIP PRIHATIN) bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP.
Mereka akan dibenarkan memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada pendapatan selama tiga bulan.
Selain itu, kerajaan turut menghargai sumbangan penghantar makanan yang menjadi barisan sokongan dalam penghantaran barangan dan makanan semasa tempoh kawalan pergerakan.
"Sehubungan itu, sejumlah 24 juta ringgit telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi membiayai caruman penuh mereka di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso," katanya.
[SIDANG MEDIA] Pengumuman Pakej Bantuan Khas oleh Perdana Menteri | 18 Januari 2021
#PERMAI #Program Subsidi Upah #perkeso #majikan #PKP #Sektor Perniagaan #Muhyiddin Yassin #Pakej Bantuan Khas #Pekerja
;