PERMAI: Kerajaan tidak boleh hanya beri insentif berbentuk kewangan - Penganalisis

Isabelle Leong
Januari 19, 2021 21:56 MYT
Dr Madeline berkata bantuan sememangnya perlu diberikan kepada rakyat tetapi bantuan kewangan tersebut hanya boleh diberikan untuk jangka yang pendek sahaja. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh hanya memberikan insentif berbentuk kewangan seperti pemberian pakej rangsangan ekonomi kepada rakyat.
Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma khuatir kerajaan tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menampung pakej rangsangan yang diberikan.
“Kerajaan ada hadnya. Saya khuatir, walaupun ada usaha untuk meningkatkan nisbah hutang kerajaan bagi membolehkan kerajaan untuk membuat pinjaman dalam negeri.
“Ada yang kata tidak lama lagi, kami akan meminjam dari luar negara tetapi buat masa ini, saya berasa kami mempunyai kecairan (liquidity) yang mencukupi,” kata Madeline dalam temu bual bersama Niaga AWANI pada Selasa.
Katanya, bantuan sememangnya perlu diberikan kepada rakyat tetapi bantuan kewangan tersebut hanya boleh diberikan untuk jangka masa yang pendek sahaja.
“Kerajaan perlu menyediakan insentif bukan hanya berbentuk bantuan kewangan secara langsung tetapi bantuan dari segi sokongan dan persekitaran yang kondusif untuk peniaga,” katanya.
Dalam perkembangan yang berkaitan, beliau menjangkakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 akan memberikan pertumbuhan ekonomi pada awal suku kedua tahun ini.
“Bagi saya, saya tidak menjangkakan banyak sangat kesan kepada suku pertama ini tetapi ia mungkin meninggalkan kesan pada awal suku kedua.
“Bagaimanapun, saya melihat kadar pengangguran munkin akan sedikit sebanyak terkesan,” tambahnya.
Susulan pelaksanaan PKP 2.0, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang bernilai RM15 bilion pada Isnin.
BACA: Teks penuh pengumuman khas Pakej Bantuan PERMAI oleh Perdana Menteri
#PERMAI #Pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia #kewangan #insentif #Dr Madeline Berma #nisbah hutang #Muhyiddin Yassin #PKP #perintah kawalan pergerakan
;