PERMAI: Bayaran fasa kedua BPN 2.0 Khamis ini

Astro Awani
Januari 18, 2021 16:40 MYT
Muhyiddin Yassin berkata, sejumlah 11.1 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak RM2.38 bilion ringgit. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) akan diawalkan kepada 21 Januari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejumlah 11.1 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak RM2.38 bilion ringgit.
Sementara itu katanya, bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan melibatkan lebih daripada lapan juta penerima.
"Golongan isi rumah berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan akan menerima RM300.
"Sementara kategori bujang berpendapatan sehingga RM2,000 sebulan pula, mereka akan menerima RM150," katanya ketika mengumumkan Pakej Bantuan Khas Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) di sini, pada Isnin.
BPN 2.0 adalah sebahagian daripada Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA Prihatin) bernilai RM10 bilion yang diumumkan pada 23 September 2020.
BPN 2.0 disalurkan melalui dua fasa pembayaran, iaitu pada Oktober 2020 dan Januari 2021.
Secara keseluruhannya, jumlah penerima BPN 2.0 merangkumi 11.06 juta penerima terdiri daripada 5.82 juta individu bujang dan 5.24 juta penerima isi rumah dengan jumlah bayaran serta peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.18 bilion.
#PERMAI #Bayaran fasa kedua #BPN #Bantuan Prihatin Nasional #bayaran fasa pertama #Pakej Bantuan Khas #Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia #Muhyiddin Yassin
;