Perlukah "jurucakap kerajaan"?

Arfa Yunus
Mei 13, 2013 10:40 MYT
Krisis Lahad Datu membuktikan orang ramai dan media berdepan kesukaran mendapatkan maklumat cepat dan tepat. Khabar angin tersebar dengan pantas namun pihak berwajib dilihat lambat menjawab spekulasi.
Insiden di Sabah merupakan satu contoh yang memerlukan pembaharuan daripada pihak media dan kerajaan agar ianya tidak meninggalkan tanda tanya.
Jumaat lalu, penganalisis politik Norizan Sharif mencadangkan kabinet yang akan diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar memansuhkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sebaliknya memperkenalkan jawatan jurucakap kerajaan.
Jurucakap kerajaan berperanan sebagai penyebar maklumat kerajaan kepada media dan orang ramai. Cadangan tersebut mendapat sambutan positif beberapa buah pihak.
Astro AWANI menemubual wakil badan bukan kerajaan (NGO), penganalisis politik, ahli politik, pegawai perhubungan awam dan pengamal media berhubung isu berkenaan. Kebanyakan mereka bersetuju wakil berkenaan bercakap bagi pihak Perdana Menteri dan kerajaan agar maklumat diperoleh datang daripada sumber sebenar.
Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Suffian berkata kewujudan wakil kerajaan merupakan cadangan positif yang membolehkan kerajaan berkomunikasi secara terus dengan media dan rakyat agar kaedahnya lebih sistematik.
"Ini bagi memastikan maklumat diselaraskan di antara kementerian dan badan kerajaan sebelum dihebahkan kepada umum," jelas beliau.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata ini merupakan langkah baru buat kerajaan mempunyai jurucakap sendiri. Polis dan tentera harus mengikut jejak langkah sama.
"Perdana Menteri tidak perlu menjawab semua soalan yang dikemukakan media. Seorang wakil untuk menjawab bagi pihak beliau sudah memadai," kata Ahmad Atory yang menegaskan sudah tiba masanya Malaysia menggunakan pendekatan berkenaan.
Sementara itu, Editor Eksekutif Astro AWANI Abdul Razak Abu Chik berkata jurucakap kerajaan perlu mempunyai kebolehan berbahasa Inggeris bagi membolehkan maklumat disampaikan dengan tepat.
"Kerajaan perlu belajar daripada kesilapan lalu di mana menteri bercakap bagi pihak kerajaan dengan penggunaan bahasa Inggeris yang tunggang-langgang.
"Media wujud bagi menyebarkan maklumat kepada orang ramai. Dengan wujudnya jurucakap kerajaan, media memperoleh maklumat yang disebarkan sendiri oleh pihak kerajaan," jelas Razak.
Menurut beliau, KPKK kurang fungsinya kerana gagal menyalurkan maklumat kepada orang awam.
Bekas editor akhbar harian Aishah Ali berpendapat mewujudkan wakil jurucakap kerajaan satu usaha murni sebagai pemudahcara kepada media memaklumkan kepada masyarakat.
"Kita tidak boleh selalu meminta Perdana Menteri untuk mengesahkan pelbagai isu kerana beliau ada tugas lain untuk dilakukan. Namun sebagai wartawan, kita perlu mengambil kenyataan beliau atau seseorang yang mempunyai kapasiti dalam hal berkenaan. Sehubungan itu, mempunyai seorang wakil memudahkan pihak media bagi mengesahkan sesuatu berita melalui satu kenyataan rasmi oleh pihak yang bertanggungjawab," jelas beliau.
Aishah menambah tanpa satu sumber utama, masyarakat akan membuat spekulasi berdasarkan pendapat sendiri.
Menurut Aishah, seseorang yang mempunyai latar belakang media sesuai menjawat jawatan berkenaan.
"Memandangkan jurucakap tersebut akan berkomunikasi dengan pihak media, seseorang yang mempunyai kemahiran kewartawanan akan membantu pemberita bekerja dengan masa yang diperuntukkan dan tahu kepentingannya," beliau menambah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Awam Media Bond, sebuah firma perhubungan awam Syed Mohamad Idid berkata jurucakap itu mesti memahami isu yang ingin diperkatakan dan seseorang yang diterima rakyat.
"Jawatan itu mesti diisi oleh seseorang yang dihormati, bersih dan diterima umum.
"Biar rakyat yang tentukan siapa wakil itu. Jika jurucakap itu daripada Jabatan Perdana Menteri, wakil itu perlu diterima dari sudut integriti," kata Idid.
Walaubagaimanapun, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan jurucakap kerajaan.
"Perdana Menteri dan timbalannya merupakan jurucakap kerajaan. Tidak perlu yang lain. Jika ramai yang ingin bercakap akan timbul kecelaruan.
"Kaedah yang diamalkan sekarang sudah memadai. PM dan timbalannya boleh membincangkan banyak isu sementara menteri hanya berkata berhubung hal-hal kementerian," beliau menambah.
#ibrahim suffian #jurucakap kerajaan #kabinet #kpkk #Najib Razak #Perdana Menteri