Perlukah Exco perak yang didakwa merogol bercuti? Ini jawapan Lim Guan Eng
Harits Asyraf Hasnan
Julai 11, 2019 12:47 MYT
Julai 11, 2019 12:47 MYT
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masih menunggu siasatan polis berhubung dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia oleh salah seorang pemimpin parti itu di Perak.
Menurut Guan Eng, beliau telah berbincang dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan sependapat supaya isu tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
“Saya telah meminta DAP Perak menguruskan perkara ni dan beri laporan kepada saya.
"Pasa masa sama, saya telah berbincang dengan Menteri Besar Perak (Ahmad Faizal). Baik di peringkat parti atau pimpinan negeri, kita akan tuggu hasil siasatan oleh pihak polis.
“Mari kita tunggu sebelum sebarang keputusan dibuat, berpandukan hasil siasatan polis. Oleh kerana itu, kita buat kata putus bahawa tunggu hasil siasatan polis,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Walaupun disoal berkali-kali, beliau masih enggan mengulas lanjut sama ada individu tersebut perlu direhatkan atau tidak daripada tugas selaku Exco Kerajaan Perak.
Pada Rabu, Exco tersebut dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan sehari sebelum itu.
Polis Perak Pada 8 Julai lalu menerima satu laporan daripada seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun mendakwa dia dirogol di rumah majikannya di Meru Ipoh oleh majikan yang juga Exco kerajaan negeri Perak.
Bertindak atas laporan tersebut, pihak polis telah menjalankan siasatan dengan merakam percakapan mangsa dan menghantarnya ke hospital untuk pemeriksaan.