Perluasan rangkaian fiber liputi 5.9 juta premis setakat suku pertama 2022 - TM

Bernama
April 8, 2022 08:15 MYT
TM turut menyasarkan pengguna Streamyx sedia ada yang kebanyakannya menggunakan teknologi tembaga dengan lebih banyak batasan.
KUALA LUMPUR: Perluasan rangkaian fiber bagi mempertingkat liputan dan kualiti jalur lebar negara yang dilaksanakan Telekom Malaysia Berhad (TM) telah meliputi 5.9 juta premis setakat suku pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Rangkaian TM Mohamed Tajul Mohamed Sultan berkata pencapaian itu adalah daripada enam juta premis yang dipertanggungjawab kepada TM dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
"Tinggal kurang daripada 100,000 premis untuk lengkapkan pelan JENDELA... Ini juga akan mempercepat pelancaran 5G kelak sebab kita sudah bersedia dengan infrastruktur yang ada, maka pelancaran untuk mendapatkan perkhidmatan 5G akan jadi lebih cepat.
"Pembinaan infrastruktur fiber ini bukan hanya untuk manfaat kepada premis kediaman atau perniagaan tetapi ia juga untuk menara pemancar mudah alih," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk Melakar Rangkaian Untuk Transformasi Digital Malaysia yang disiarkan di Bernama TV pada Khamis.
Beliau berkata dalam usaha fiberisasi ini, TM turut menyasarkan pengguna Streamyx sedia ada yang kebanyakannya menggunakan teknologi tembaga dengan lebih banyak batasan.
"Pada peringkat awal kita laksanakan pelan JENDELA, terdapat 900,000 pengguna Streamyx yang menggunakan teknologi tembaga maka hari ini atas usaha pelan migrasi yang kita lakukan, sebanyak 600,000 pengguna telah berjaya kita migrasikan ke rangkaian teknologi fiber.
"Ada dalam 300,000 yang sedang kita usahakan untuk bawa mereka menikmati kemudahan fiber supaya mereka dapat kecapi kemudahan prestasi capaian Internet yang jauh lebih baik," katanya.
Mohamed Tajul berkata pihaknya akan meneruskan inisiatif itu agar ia sampai ke kawasan pedalaman sekali gus memastikan rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada dan kemudahan infrastruktur fiber dapat dinikmati dengan kualiti perkhidmatan jalur lebar yang terbaik.
Pelan JENDELA, yang dilancarkan pada Ogos 2020, bertujuan memberi liputan lebih meluas dan pengalaman kualiti jalur lebar lebih baik untuk rakyat sebagai langkah siap siaga negara untuk beralih kepada teknologi 5G dan ia merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.
Fasa pertama, yang bermula 2020 hingga 2022, menyasarkan liputan jalur lebar mudah alih 4G diperluas daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk, mempertingkat kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta membolehkan sebanyak 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.
Fasa kedua pula menyaksikan peralihan kepada 5G menyusul selepas platform yang kukuh dalam fasa pertama dicapai selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia Ke-12.
-- BERNAMA
#Mohamed Tajul Mohamed Sultan #TM #Malaysia #jalur lebar
;