Perluasakan penyampaian khutbah dalam Inggeris di Langkawi - CEO LADA
Bernama
Februari 12, 2017 20:35 MYT
Februari 12, 2017 20:35 MYT
Penyampaian khutbah Jumaat dalam bahasa Inggeris di masjid-masjid di Langkawi perlu diperluaskan lagi sejajar dengan statusnya sebagai pulau pelancongan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin hari ini.
Katanya, ini membolehkan pelancong dan warganegara asing yang bermastautin di pulau ini yang tidak fasih berbahasa Melayu memahami isi kandungan khutbah.
"Sekarang ini saya lihat ada satu atau dua masjid sahaja di sini yang menggunakan bahasa Inggeris dalam khutbah. Saya rasa semua ustaz boleh berbahasa Inggeris (untuk menyampaikan khutbah)," katanya di majlis Mahabah Bersama Imam-Imam Masjid anjuran LADA di sini.
Beliau berkata sudah ada masjid-masjid di negara ini yang menggunakan bahasa Inggeris dalam penyampaian khutbah. Ini perlu diperhebatkan di Langkawi.
Menurutnya, pihak pengurusan masjid juga boleh mempertingkatkan lagi penggunaan aplikasi digital dalam penyampaian khutbah ini.
Azizan berkata LADA juga telah menyenaraikan 12 program keagamaan untuk diadakan sepanjang tahun ini.
Antaranya program pembangunan dan pelaksanaan kumpulan nasyid, majlis sumbangan sempena Ramadan, majlis berbuka puasa, Aidilfitri Special, Kenduri Korban LADA dan Homestay Open Day (promosi Bubur Asyura).
Dalam majlis itu, Azizan turut menyampaikan sumbangan dari anak syarikatnya, Panorama Langkawi Sdn Bhd, kepada 29 jawatankuasa masjid di daerah ini.
Anggota Majlis Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat; Adun Kuah Nor Saidi Nanyan; dan Timbalan Pegawai Agama Langkawi, Sheikh Muhammad Usamah Talib turut hadir di majlis itu.
-- BERNAMA