Parlimen Negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (PUIC) dicadang memberi lebih peranan dan peluang kepada golongan muda dalam perkembangan agama.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, mesyuarat itu juga harus dijadikan platform serius untuk membuktikan peranan golongan berkenaan tidak diketepikan sama sekali.

"PUIC kali ini memperlihatkan bahawa mereka juga serius dalam perkembangan dan peranan yang dimainkan orang muda.

"Berdasarkan pengalaman dalam Pergerakan Puteri dan juga belia, saya mencadangkan pada ahli jawatankuasa untuk sama-sama memperluaskan lagi peranan orang muda dalam dunia Islam.

"Betapa perlunya kita untuk memahami suara orang muda dan mengambil serius isu orang muda kerana kalau gagal untuk memahami aspirasi, mereka bukan hanya akan menjejaskan kehidupan malah turut sama menjejaskan serta pembaziran hasil negara," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.


Mas Ermieyati (empat dari kiri) yang mewakili Malaysia bergambar bersama beberapa wakil beberapa negara selepas membentang kertas cadangan pada PUIC di Istanbul - Sumber gambar Mas Ermieyati


Usul itu dicadangkan Mas Ermieyati semasa mewakili negara pada Mesyuarat Hak Asasi Wanita dan Keluarga PUIC di Istanbul.

Dalam pada itu jelasnya, PUIC turut digesa untuk menghargai peranan yang dimainkan belia dari segi pembangunan negara.

"Juga ke arah melahirkan lebih ramai orang muda yang berbakat dalam pelbagai bidang, keusahawanan dan juga kepimpinan, selain berkongsi pengalaman negara dalam penyediaan minda belia yang positif," ujarnya.

Mas Ermieyati turut melihat PUIC sebagai peluang untuk membantu wanita terutama sekali bagi negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Saya mencadangkan perlunya ada pelan tindakan bagi setiap negara PUIC ke arah itu. Pelan itu termasuklah wanita sebagai individu, ibu dan sebagainya.

"Kita juga perlu menggunakan pendekatan professional, sosial dan aktiviti politik sebagai seorang wanita supaya boleh digunakan untuk membangunkan potensi wanita dalam pekerjaan dan pembangunan keluarga," jelasnya.

Tambahnya, PUIC turut menjadi satu ikatan yang kukuh supaya kerjasama dapat dibuat berterusan sebagai salah satu tanggungjawab bersama.

"Kita perlu bersama dalam menyokong dan membantu negara yang mengalami krisis tidak kira dalam bentuk sokongan dan bantuan dari segi keperluan serta kapasiti lain," katanya.