Perluas operasi cari pendaki hilang - Bomba

Aida Aziz
Mac 13, 2022 11:01 MYT
Operasi pencarian lelaki warga emas, Lau Sam, 84, yang hilang ketika melakukan aktiviti mendaki pada Jumaat lalu diteruskan hari ini di Puncak Jelapang. - Gambar ihsan BOMBA
IPOH: Operasi pencarian lelaki warga emas, Lau Sam, 84, yang hilang ketika melakukan aktiviti mendaki pada Jumaat lalu diteruskan hari ini di Puncak Jelapang.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, operasi pagi ini diperluaskan dengan membabitkan pencarian sejauh 2 kilometer (km), termasuk di kawasan mangsa dipercayai jatuh.
Kata jurucakap itu, keanggotan anggota penyelamat merangkumi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya seramai lapan orang, Must Team (enam orang) dan Unit Pengesan JBPM (K9) (tiga orang).
Tidak ketinggalan anggota penyelamat turut merangkumi empat orang dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam orang dari APM, PBS Chemor (lima orang) dan dan team pendaki (harrier house) seramai 35 orang.
Jurucakap itu berkata, operasi tersebut turut melibatkan pencarian di bahagian dua sektor iaitu sektor A dan B.
"Sektor A merangkumi jarak pencarian sejauh 2 km dan kawasan disyaki mangsa jatuh, manakala sektor B pula meliputi kawasan cerun dan tebing tinggi," kata jurucakap itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Terdahulu media melaporkan, seorang pendaki warga emas dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian bersama sekumpulan tujuh rakan di Puncak Jelapang di sini, kelmarin.
Difahamkan, kehilangan mangsa disedari ahli kumpulannya sekitar pukul 6 petang setelah didapati tidak tiba di kaki bukit yang kemudian bertindak mendaki semula bagi mencari mangsa.
#warga emas hilang #mendaki #Puncak Jelapang #JBPM Perak
;