Perluas Menu Rahmah ke Sabah - Warisan

Bernama
Februari 2, 2023 23:20 MYT
Menu Rahmah merupakan hidangan seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan untuk membantu golongan yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) memuji inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan Persekutuan dan menggesa kerajaan Sabah yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya memperluas inisiatif itu ke negeri berkenaan.
Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong berkata Menu Rahmah ialah satu inisiatif yang bagus diperkenalkan kerajaan Persekutuan bagi menawarkan lebih banyak pilihan tempat makan selain mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
"Inisiatif ini menerima maklum balas yang bagus di Semenanjung Malaysia, malah rakyat daripada golongan M40 dan T40 juga membanjiri kedai yang menyertai usaha ini untuk menikmati makan tengah hari pada harga hanya RM5.
"Berapa kerap anda mendengar sepinggan hidangan berharga RM5 pada masa ini? Menu nasi bajet pun harganya lebih daripada itu.
"Tetapi malangnya inisiatif ini hampir tidak didengar atau dilihat di Sabah walaupun kos harga makanan di kedai di Sabah lebih tinggi dari Semenanjung Malaysia. Saya rasa rakyat Sabah pastinya ingin menikmati makan tengah hari dengan harga hanya RM5," kata Ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru itu dalam kenyataan di sini semalam.
BACA: Pemain industri makanan perlu kerjasama jayakan pelaksanaan Menu Rahmah
BACA: 'Menu Rahmah RM4.90 masih menguntungkan peniaga'
BACA: KPDN cadang kedai makan perkenal Menu Rahmah bawah RM5
Wong berkata terdapat banyak cara kerajaan negeri boleh menyokong seterusnya memperluas inisiatif ini, sebagai contoh, menawarkan insentif seperti diskaun atau pengecualian lesen perniagaan, bayaran penilaian dan sebagainya untuk menggalakkan premis perniagaan makanan tempatan di Sabah menyertai inisiatif itu.
Selasa lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makan tengah hari atau makan malam berharga RM5 sepinggan di 15,000 premis menjual makanan yang menyertainya di seluruh negara.
Menu itu terdiri daripada hidangan seimbang yang merangkumi nasi putih, satu pilihan protein sama ada ayam atau ikan, dan sayur yang ditawarkan kepada mereka yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup ketika ini.
-- BERNAMA
#Menu Rahmah #Junz Wong #Sabah #kos sara hidup