Perlu wujud undang-undang khas, kawal penggunaan plastik sekali guna - Ahli akademik

Bernama
Januari 17, 2024 04:45 MYT
Produk plastik sekali guna boleh mengambil masa sehingga beberapa tahun untuk lupus, serta menghasilkan toksik yang membahayakan manusia, alam sekitar serta haiwan liar. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Satu undang-undang khas berkaitan plastik sekali guna dicadang diperkenalkan, yang antara lain bagi mengawal industri pembuatan dari menghasilkan produk menggunakan material berkenaan, seterusnya mengurangkan penggunaannya secara menyeluruh.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Siti Hafsyah Idris mengakui, walaupun negara mempunyai undang-undang alam sekitar, namun undang-undang khusus dilihat mampu mengawal penggunaannya dengan lebih efektif.
"Cuma di peringkat negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor, telah wujud dan terkini Sabah bakal membuat dasar untuk pelupusan plastik," katanya dalam program Apa Khabar Malaysia bertajuk Plastik: Keperluan atau Ancaman?, yang disiarkan Bernama TV, pada Rabu.
Siti Hafsyah turut persoalkan solusi kepada plastik sekali guna, sekiranya penggunaannya dihentikan pihak berkuasa.
"Bagi sesetengah pasar raya, mereka menggalakkan penggunaan beg beli-belah yang dibawa pengguna ketika membeli barangan mereka...tetapi masih ada kedai runcit yang menggunakan plastik sekali guna," beliau menyuarakan kebimbangannya.
Siti Hafsyah turut berpendapat proses pendidikan dan pelaksanaan pengurusan serta pelupusan sisa plastik harus bermula di rumah, agar ia dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar pada jangka masa panjang.
Beliau berkata pengguna boleh menjalankan tanggungjawab mereka di rumah, dengan melakukan beberapa langkah mudah dengan mengasingkan sisa sampah kepada plastik, kertas dan lain-lain yang seterusnya dibuang di pusat kitar semula.
"Kita sedar bahawa di samping harganya yang murah, plastik mempunyai banyak kegunaan. Tetapi adakah kita sedar akan kesannya kepada manusia, terutama sekali bagi plastik sekali guna?," katanya.
Siti Hafsyah berkata produk plastik sekali guna boleh mengambil masa sehingga beberapa tahun untuk lupus, serta menghasilkan toksik yang membahayakan manusia, alam sekitar serta haiwan liar.
-- BERNAMA
#undang-undang khas #kawal #plastik sekali guna #Prof Madya Dr Siti Hafsyah Idris
;