Perlu wujud sistem pendataan mangsa banjir untuk kelancaran gerakan bantuan - Mercy Malaysia
Israr Khalid
Disember 20, 2021 06:45 MYT
Disember 20, 2021 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Usaha menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dapat dijalankan dengan lebih lancar dan tepat ke sasarannya sekiranya ada sistem pendataan.
Kata exco Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah, setiap maklumat mangsa dan perkembangan semasa mereka perlu direkodkan supaya mudah bagi pihak yang ingin membantu menyusun pergerakan untuk menyalurkan apa yang benar-benar diperlukan mereka yang terkesan.
Jika tidak, banyak sumber dan tenaga akan terbazir apabila pergerakan bantuan dibuat secara rawak dan tiada perancangan, akhirnya keperluan mangsa yang mendesak tidak dapat dipenuhi di waktu genting ini.
“Keperluan mendesak ini sangat penting untuk diketahui mengikut lokaliti dan daerah setempat, tanpa ini (pihak) yang nak menolong akan melakukan proses yang remeh pergi dari satu tempat ke satu tempat.
“Ketika sama sekarang ini pula kita tahu semua orang nak menolong dan jalan sudah mulai sesak.”
Maka kata Norazam adalah sangat kritikal ketika ini untuk kita fahami data-data keperluan di peringkat setempat, dan kerja pengumpulan data ini perlu dilakukan oleh ketua-ketua kampung serta pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Selain dapat memudahkan urusan di waktu kecemasan ini, data yang terkumpul dan (sebaiknya) dikemas kini itu dapat terus dirujuk untuk meneruskan kesinambungan bantuan-bantuan seterusnya di fasa pemulihan nanti.
Tonton temu bual penuh beliau dalam program Agenda AWANI bersama hos, Essan Yahya, di sini:
Agenda AWANI: Banjir Besar I Mangsa berdepan situasi kritikal