Perlu ubah polisi pelaburan jika ingin isi kelompongan luar bandar - SKMM
Faris Danial Razi
November 19, 2020 09:56 MYT
November 19, 2020 09:56 MYT
KUALA LUMPUR: Polisi pelaburan industri telekomunikasi memerlukan perubahan bagi mengatasi masalah kelompongan luar bandar yang berdepan masalah capaian rangkaian internet.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, dengan perubahan itu, ia akan mengambil masa 12 hingga 18 bulan bagi penambahbaikan dilakukan.
“Sekarang ini kita memang ada kaedah yang mana setiap pembekal akan membayar cukai telekomunikasi, kita panggil ini sebagai Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) ataupun Universal Service Provision (USP) Fund.
“Jadi, apabila kita ada dana ini, dana inilah yang kita guna pakai untuk membantu syarikat telco melabur di kawasan yang tidak berapa komersial.
“Dengan cara ini, kita boleh pastikan kelompongan di pinggir bandar ataupun di luar bandar akan tertutup dengan pelaburan tersebut,” jelas Dr Fadhlullah.
Apabila ditanya mengenai jangka masa dalam mengisi kelompongan itu, beliau memberitahu ia mungkin memakan masa dari 12 hingga ke 18 bulan.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual menerusi program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambahnya lagi, pelaburan industri telekomunikasi ini adalah satu pelaburan yang unik.
“Industri telekomunikasi memang sudah ada duit untuk melabur, tapi bila nak melabur itu lambat, jadinya apabila lambat, dia melabur ke tempat lain.
“Kalau kita tidak ubah polisi ini setiap negeri untuk menyenangkan pelaburan tersebut, yang akan merasakan kepincangannya adalah rakyat sendiri dan juga negeri sendiri kerana ekonomi masa depan akan bergantung kepada kesalinghubungan,” tambah beliau.
#SKMM
#Agenda Awani
#telekomunikasi
#MCMC
#syarikat telco
#Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek
#Polisi pelaburan
#industri telekomunikasi
#kelompongan luar bandar