Perlu tukar budaya 'OK kalau rasuah di Malaysia' - Anas Zubedy

Astro Awani
April 14, 2021 12:12 MYT
Kata Anas Zubedy, pihak berkenaan perlu memikirkan untuk memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara dari tahun ke tahun. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rakyat perlu menukar budaya dan pemikiran bahawa 'tidak salah jika menerima atau memberi rasuah di negara ini'.
Penulis dan blogger, Anas Zubedy berkata, ia perkara mudah jika kesedaran dan pegangan itu menjadi panduan di dalam diri setiap individu.
"Kita kena balik kepada pendidikan moral, pendidikan di rumah. Apa yang penting ibu bapa tidak boleh mengambil rasuah, ibu bapa mesti kata tidak boleh. Kalau kita tunjuk kepada kanak-kanak boleh makan duit haram, mereka akan ikut.
"Kalau orang mula bekerja, penting, majikannya atau budaya tempat kerja. Kita tidak menerima dan memberi rasuah.
"Benda-benda ini kita mesti mula dari segi hati, pemikiran awal-awal, kalau tidak, generasi akan datang menjadi lebih teruk," katanya semasa dihubungi pada Rabu.
Zubedy juga merupakan penulis buku #MoneyTalk – 139 easy guides on how to make and keep money without cheating and corruption here yang diterbitkan pada tahun 2013.
Ia ditulis secara santai dan menyasarkan panduan serta tunjuk ajar membuat duit tanpa tanpa rasuah atau penipuan.
Dalam pada itu kata Anas Zubedy, pihak berkenaan perlu memikirkan untuk memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) negara dari tahun ke tahun.
Malaysia jatuh ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam CPI TI 2020.
Bagi 2019, Malaysia berada di kedudukan ke-51.
#Rasuah #pendidikan #rakyat #haram #CPI #Anas Zubedy
;