Perlu strategi serampang dua mata tangani kebergantungan terhadap pekerja asing - Penganalisis
Irfan Faruqi
Januari 9, 2023 18:14 MYT
Januari 9, 2023 18:14 MYT
KUALA LUMPUR: Strategi serampang dua mata perlu dilaksanakan apabila menyentuh berkaitan pengurusan hal ehwal pekerja dari negara jiran.
Penganalisis politik, ekonomi dan hubungan antarabangsa, Herizal Hazri berkata, pekerja migran perlu dilindungi sewajarnya, dan pada masa yang sama kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah perlu dikurangkan negara secara berperingkat.
"(Kerajaan) perlu ambil langkah-langkah yang positif untuk memperkukuh sistem kita. Agar kita dapat, bukan sahaja membawa pekerja berkualiti masuk ke malaysia, tetapi juga kita harus memastikan bahawa pekerja-pekerja ini dilindungi dengan undang-undang dan disantuni dengan program (kebajikan)," katanya ketika ditemu bual dalam program Pantau Kerajaan Baharu Astro AWANI hari ini.
Herizal juga menekankan bahawa solusi jangka masa panjang mengenai isu ini ialah dengan membangunkan industri berteknologi tinggi, seterusnya beralih kepada membawa masuk pekerja berkemahiran tinggi.
"Jadi bagi saya kalau kita mahu melihat penyelesaian yang menyeluruh. Kita tidak perlu melihat kepada memperkukuhkan sistem itu. Tetapi kita harus mempertingkatkan industri kita supaya kita dapat menghasilkan produk-produk tanpa terlalu bergantung dengan pekerja-pekerja daripada negara jiran," jelasnya.
Apabila ditanya sama ada syarikat-syarikat di Malaysia bersedia untuk beralih ke arah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah ini, Herizal berkata industri akan sentiasa tidak bersedia.
"Kita bukannya negara baharu membangun. Kita ialah negara (berstatus) pendapatan pertengahan tinggi agak lama.
"Jadi bagi saya untuk kita mempersoalkan sama ada industri itu sudah bersedia atau tidak? Jawapannya, mereka tidak akan bersedia sampai bila-bila. Hari ini kita bercerita tentang pandemik, tahun lepas kita cerita benda lain, sepuluh tahun akan datang kita bercakap tentang benda lain," jelasnya lagi.