Perlu sistem 'safeguard' elak manipulasi politik, persempadanan tidak adil - Pengasas Undi18

Madiha Abdullah
Julai 14, 2021 07:44 MYT
Tharma mengakui rakyat mungkin belum bersedia dengan perubahan dalam sistem pilihan raya, namun menggesa orang ramai melihat kesannya pada masa akan datang. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Struktur demokrasi dari segi persempadanan yang tidak sekata dan manipulasi pilihan raya memberi impak secara langsung kepada anak muda.
Pengasas bersama Undi18, Tharma Pillai berkata, ini kerana ia boleh menyumbang kepada kurangnya kuasa, suara malah hak memilih pemimpin juga akan terjejas.
"Mengikut statistik, 72 peratus anak muda tinggal di bandar, dan kita tahu isu berkaitan persempadanan yang tidak adil ini paling memberi kesan kepada kawasan-kawasan bandar.
"Kita lihat semula kepada kerangka Undi18 dan automatic voter registration, tujuannya adalah mahu meningkat bilangan pengundi dalam kalangan anak muda.
"Menjelang pilihan raya seterusnya, kita akan ada pertambahan pengundi 7.8 juta, bertambah 50 peratus. Jadi isu persempadanan ini penting dan perlu ditangani segera," katanya dalam webinar berjudul Sempadan Pilihan Raya: Anak Muda Rugi Kalau Tak Ubah?, pada Rabu.
Jelas Tharma, tanpa mengira kerajaan mana yang memerintah, satu sistem safeguard perlu dilaksanakan bagi mengelakkan manipulasi persempadanan.
"Kalau kita ada satu sistem seperti proportional representation atau perwakilan berkadar, tidak sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya rakyat akan rasa demokrasi kita lebih sejajar dengan pola pengundian rakyat.
"Saya berpendapat, cara yang boleh kita lakukan ialah dengan mengubah perlembagaan persekutuan untuk pastikan ada sistem safeguard tertentu yang membantu mengelakkan manipulasi politik.
"Kenapa kita ada di tempat sekarang? Kerana manipulasi di peringkat perlembagaan pada tahun 60an dan 70an dahulu. Kalau kita nak selesaikan, kita perlu kembali kepada semangat perlembagaan semasa negara ini dibina bersama," tegasnya.
Tharma bagaimanapun mengakui rakyat mungkin belum bersedia dengan perubahan, namun menggesa orang ramai melihat kesannya pada masa akan datang.
"Apa saja konsep atau perubahan, mesti ada yang tak faham. Kalau kita tanya sekarang, masih ramai yang tak faham apa beza Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun kita sudah pakai sistem ini berpuluh tahun.
"Kenapa kita perjuangkan Undi18 dahulu? Kerana kita mahu nyalakan api perubahan, dan sekarang kita sudah nampak sedikit demi sedikit.
"MOE (Kementerian Pendidikan) contohnya, selepas kita pinda perlembagaan Undi18, ada pindaan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) untuk membolehkan pilihan raya dijalankan di sekolah.
"Ini yang berlaku apabila kita lakukan reformasi besar," katanya.
#undi #pilihan raya #Parlimen #persempadanan politik #kerajaan #politik #manipulasi #persempadanan #bandar #hak memilih #safeguard #perwakilan berkadar #demokrasi #Perlembagaan #Undi18 #reformasi #Tharma Pillai
;