Perlu segera tubuhkan Jawatankuasa Parlimen Khas bipartisan - REFSA
Irwan Muhammad Zain
Februari 20, 2021 15:56 MYT
Februari 20, 2021 15:56 MYT
KUALA LUMPUR: Sebuah Jawatankuasa Parlimen Khas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang perlu ditubuhkan segera bagi menangani pandemik COVID-19 yang sangat meresahkan rakyat.
Badan Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (REFSA) berpendapat cadangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said agar sebuah Jawatankuasa Parlimen Khas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ditubuhkan, perlu dilaksanakan segera.
Menurut Pegawai Penyelidik REFSA, Fakhrurrazi Rashid apa yang dicadangkan oleh Azalina itu merupakan jalan tengah terbaik untuk memastikan pihak pembangkang dan kerajaan berkerjasama dalam sebuah jawatankuasa.
"Bila kita lihat keadaan sekarang ini memang kita sedang menghadapi krisis yang agak genting bagi semua rakyat Malaysia.
"Cuma rakyat mengharapkan kepimpinan kerajaan dan Ahli Parlimen itu sendiri memberi satu kerjasama yang baik dalam tadbir urusa negara berhadapan krisis," katanya kepada Astro AWANI.
Fakhrurrazi juga menjelaskan, jawatankuasa bipartisan ini perlu diberikan kepercayaan penuh untuk meneliti segala dasar-dasar kerajaan pasca pandemik.
"Di New Zealand terdapat jawatankuasa yang sama dipanggil Epidemic Response Committee, dimana dalam jawatankuasa tersebut terdapat kedua-dua belah pihak ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
"Kedua-dua belah pihak ini bekerjasama untuk memastikan dasar kerajaan New Zealand ketika itu mengambil kira aspek keselematan dari segi pandemik dan kegelisahan rakyat berkaitan ekonomi," katanya lagi.
Jelas beliau, jawatankuasa di New Zealand itu ditubuhkan ketika negara tersebut berada pada tahap kritikal dan parlimen tidak dapat bersidang.
Sebaik sahaja Parlimen dapat bersidang, jawatankuasa tersebut mengeluarkan satu laporan yang dibahaskan dalam parlimen sebelum jawatankuasa tersebut dibubarkan.
Baru-baru ini, Azalina mengutuskan surat kepada Peguam Negara yang antara lainnya mencadangkan agar jawatankuasa parlimen khas yang dianggotai ahli parlimen kerajaan dan pembangkang boleh dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.