Perlu sedia pakej pelancongan tarik pelancong ke Negeri Sembilan - Exco
Bernama
September 16, 2023 07:00 MYT
September 16, 2023 07:00 MYT
SEREMBAN: Agensi pelancongan di Negeri Sembilan perlu menyediakan pakej pelancongan bagi memperkenalkan lokasi menarik supaya dapat menggamit kehadiran lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata ia termasuk ekopelancongan, pertanian, sukan, acara dan makanan sekali gus berupaya memperkasakan lagi sektor pelancongan dalam negeri.
"Selama ini kita buat program lancar produk sahaja, beri informasi tetapi kita tak ada tawaran pakej pelancongan, jadi orang ramai singgah sekejap sahaja kemudian ke Melaka, Perak dan sebagainya untuk melancong.
"Kita sediakan pakej ikut golongan sasar contohnya pelancong dari China mereka berminat melawat tempat bersejarah seperti muzium manakala 'mat saleh' suka daki gunung dan sebagainya. Jadi kita buat pakej itu bagi menarik minat mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Program 916 Hari Malaysia Tapigami Art di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata setiap daerah boleh memilih dan memfokuskan sembilan produk pelancongan bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke daerah masing-masing.
"Kita tumpu perhatian dan utamakan sembilan produk berkenaan dari setiap daerah apabila membina pakej pelancongan nanti," katanya dan menambah 195,000 pelancong melawat negeri ini setakat Mac lepas.
-- BERNAMA