Perlu satu agensi tunggal untuk jaga sempadan negara - Akbar Satar
Astro Awani
Jun 25, 2015 09:30 MYT
Jun 25, 2015 09:30 MYT
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akbar Satar berkata kerajaan perlu serius menjaga keselamatan dan kedaulatan negara dengan mewujudkan satu agensi tunggal yang diberi tanggungjawab menjaga sempadan negara.
Agensi unit khas ini juga perlu dilatih dan mempunyai pengetahuan tentang penyiasatan dan undang-undang negara, katanya lagi.
“Sudah tiba masanya kita tubuhkan unit khas patrol border seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat,” katanya dalam satu temu bual dalam rancangan Analisis AWANI, Rabu.
Tambahnya, dengan situasi terkini dalam negara yang menyaksikan peningkatan kes penyeludupan dan pemerdaganagn manusia, ia sekaligus menunjukkan kegagalan unit sedia ada malahan integriti mereka turut dipertikaikan oleh rakyat.
Akbar dalam temu bual itu turut mencadangkan kerajaan menggunakan teknologi terkini seperti kamera rakaman litar tertutup dan radar di sempadan negara dengan menjadikan U.K dan A.S sebagai model utama dalam menjaga keselamatan sempadan negara.
Menurutnya, koordinasi antara setiap agensi terlibat juga perlu diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan tugas, malah dengan wujud satu-satunya agensi tunggal dalam kawalan sempadan, ia boleh mengelak pertikaian integriti penguatkuasan dalam menjaga kedaulatan dan keamanan negara.
Beliau turut mencadangkan ujian integriti perlu diperkenalkan bagi menguji pegawai penguatkuasa secara berkala terutama mereka yang ditugaskan di sempadan negara dan menetapkan tempoh maksima tugas di kalangan penguatkuasa ini bagi mengelak terjerumus dalam melakukan atau menerima rasuah.