Perlu pelbagai, jangan bergantung pada satu jenis tanaman - Teresa Kok
Afiq Ariffin
Februari 16, 2019 12:41 MYT
Februari 16, 2019 12:41 MYT
Perbincangan bagi mengenal pasti jenis tanaman baharu yang sesuai diusahakan oleh pekebun kecil kelapa sawit dan getah telah dilakukan kementerian terlibat dalam usaha kerajaan membantu mereka mempelbagaikan tanaman yang diusahakan.
Menurut Menteri Industri Utama, Teresa Kok, perbincangan mengenai isu berkenaan telah dimulakan sejak awal tahun 2019 dan bertujuan membantu golongan itu menghadapi cabaran harga komoditi dunia yang tidak menentu.
"Selain kementerian saya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas serta perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telahpun mencadangkan agar pekebun kecil tidak terlalu bergantung kepada satu jenis tanaman komoditi sahaja," kata Teresa.
Jelasnya, kerajaan juga sedang melihat kesesuaian tanah dengan jenis-jenis tanaman yang akan dipromosikan.
"Kita juga perlu melihat kesesuaian tempat-tempat yang berlainan yang mungkin sesuai untuk jenis tanaman komoditi yang baharu. Malah, ini semua bergantung kepada daerah dan juga pekebun," katanya.
Menurut Teresa, Malaysia telah mengimport hampir sejuta biji kelapa setiap tahun dan ramai pekebun kecil telah mula menanam tanaman sampingan seperti kelapa dan nanas.
"Ada pekebun kecil yang telah menanam kelapa dan kerana permintaan tinggi. Malah, Malaysia juga terpaksa mengimport sejuta biji kelapa setahun.
"Jadi ini satu tanaman yang saya rasa boleh membawa keuntungan," kata Kok.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan laluan penghubung di antara Jalan Kelang Lama dan Lebuhraya Pantai Baru melalui Jambatan Menyeberangi Sungai Kelang (OKR-NPE Link Bridge).
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Ketua Polis Daerah Brickfields, A-C-P Tuan Ruslan Kahlid; dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Encik Kwan Joon Hoe.
#Getah
#kepala
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Menteri Industri Utama
#Perdana Menteri
#sawit
#Teresa Kok