KUALA LUMPUR: Buat pertama kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan pada Mac 2020, kadar pengangguran negara jatuh di bawah 4 peratus pada April 2022, berbanding 4.6 peratus pada April 2021.

Walaupun kadar pengangguran masih belum kembali ke paras pra-pandemik iaitu di bawah 3.5 peratus, sesebuah negara dianggap telah mencapai guna tenaga penuh jika kadar penganggurannya di bawah 4 peratus.

Itu pandangan Pengasas yang juga Pengarah Urusan, Aisling Group, Melissa Norman yang turut melihat ia merupakan petanda positif.

Namun, beliau mengemukakan beberapa kebimbangan seperti ketidakpadanan dalam pasaran kerja yang boleh membawa kepada isu-isu seperti 'brain drain' dan guna tenaga tidak penuh.

"Walaupun banyak yang telah dilakukan untuk menangani isu ini, nampaknya kita telah banyak bergantung pada penyelesaian tradisional untuk masa yang lama.

"Ini kerana banyak peluang pekerjaan telah dicipta, menjadikan pekerjaan lebih menarik dan terkini, meningkatkan gaji minimum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat lebih 160,000 penganggur yang tidak aktif, seperti mereka yang tidak mempunyai kemahiran atau akses kepada latihan sewajarnya untuk mencari pekerjaan.

Malah, beliau berkata ramai berpandangan bahawa tiada pekerjaan yang tersedia untuk mereka selain merasakan diri mereka tidak layak.

"Faktor-faktor ini menghalang mereka daripada mencari kerja.

"Memotivasikan orang-orang ini untuk mula memohon pekerjaan memerlukan peningkatan semangat rendah mereka juga.

"Sebagai contoh, penganggur yang tidak aktif boleh menghadiri bengkel (terutamanya bengkel fizikal bagi mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet) atau menghadiri program di mana mereka boleh mempelajari kemahiran asas komputer, cara menulis CV, menyemak CV mereka dan bersedia untuk temu duga kerja," jelasnya.

Sebagai sebuah negara berusaha untuk menjadi maju, beliau berpandangan ia mesti bermula dengan pendekatan yang menyokong dan memperkasakan pencari kerja.