Perlu langkah bersepadu bantu IPTS terus bernafas

Madiha Abdullah
Februari 2, 2023 14:25 MYT
IPTS masih berdiri atas kapasiti entiti perniagaan yang memerlukan pulangan untuk bertahan. - Gambar hiasan/Unsplash
KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan swasta, baik yang bertaraf universiti, kolej universiti atau kolej berhadapan dengan situasi genting terutamanya dari segi mendapatkan jumlah pelajar yang mencukupi.
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak berkata, biarpun berstatus institusi akademik, hakikatnya yang perlu disedari ialah IPTS masih berdiri atas kapasiti entiti perniagaan yang memerlukan pulangan untuk bertahan.
"Kena ingat yang IPTS diwujudkan juga atas dasar komersial. Kalau mereka tak boleh catat untung dari segi pelaburan, mereka sukar teruskan kelangsungan.
"Salah satu aspek yang perlu dijaga ialah kualiti dari segi pendidikan, tetapi hal itu bukan masalah sebab di peringkat kebangsaan sudah ada mekanisme yang ditetapkan.
"Kedua, mereka perlu ada jumlah pelajar dan tenaga pengajar yang bersesuaian, kalau pelajar ada tenaga pengajar juga ada. Kalau tak ada pelajar, sukar mengekalkan tenaga pengajar kerana mereka juga perlu bayar gaji dengan baik.
"Sejumlah besar IPTS menghadapi kesukaran mendapatkan pelajar lebih-lebih lagi pelajar antarabangsa kerana sistem pembelajaran hari ini tidak bersifat bersemuka.
"Terdapat permintaan besar yang mahu satu sistem hybrid, pelajar tak perlu berada sepenuh masa di universiti dan belajar dari rumah.
"Ini memerlukan IPTS melabur besar untuk menyediakan sistem pengurusan pembelajaran," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu.
Pantau Kerajaan Baharu: IPTS | Antara kelangsungan, akreditasi & enrolmen
Justeru, beliau berharap satu langkah bersepadu atau kerjasama kolektif di peringkat kebangsaan membabitkan kementerian dan agensi berkaitan dilakukan bagi menarik pelajar berkualiti ke negara ini.
Malaysia katanya, harus mencontohi United Kingdom yang sentiasa konsisten mengadakan promosi bagi menarik pelajar antarabangsa, walaupun kadar yuran mereka tinggi.
Antara inisiatif yang boleh difikirkan ialah membenarkan pelajar antarabangsa bekerja selama beberapa jam seminggu, selain menawarkan peluang pekerjaan selepas tamat belajar, khususnya dalam sektor-sektor tertentu.
"Kita harus lihat bagaimana nak tarik pelajar terbaik untuk datang belajar di sini, seperti memberi biasiswa dan peluang bekerja kerana kita ada banyak GLC, syarikat besar yang perlu tenaga kerja terutama bidang berteknologi tinggi yang memerlukan tenaga pakar yang kita tak ada.
"Ini strategi yang boleh dilihat, selain kemudahan dari sudut visa bagi memudahkan mereka masuk tetapi tidak sampai mengorbankan aspek keselamatan negara sebab kita mahu tarik mereka yang betul-betul ke sini untuk belajar," tambahnya.
#ipts #pendidikan #swasta
;