Perlu kajian saintifik bagi larangan kapcai ke pusat bandar - Wan Junaidi

Anthea Yap
Januari 17, 2017 22:19 MYT
WAN JUNAIDI: Kajian saintifik perlu dibuat sebelum keputusan untuk melarang kemasukan motosikal kapcai ke pusat bandar. - Gambar fail
Kajian saintifik perlu dibuat sebelum keputusan untuk melarang kemasukan motosikal kapcai ke pusat bandar.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jenis pengangkutan itu bukan antara penyumbang utama kepada pencemaran udara.
Jelasnya cadangan itu perlu dikaji pada dasarnya jenis pengangkutan yang menyumbang lebih kepada pencemaran udara.
“Semua perkara begini perlu ada saintifik sebelum keputusan itu dibuat. Daripada kajian saintifik itu, kita akan tahu siapakah yang merupakan penyumbang terbesar.
“Sama ada ia membabitkan lori, bas, kereta atau motorsikal kapcai yang merupakan penyumbang terbesar.
“Jadi sekiranya ia dapat dikenal pasti dengan itu, kita dapat mengurangkan kenderaan yang masuk ke bandar”, katanya selepas Majlis Perhimpunan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebagai langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon, motorsikal kapcai dilarang memasuki Kuala Lumpur.
Jelas Tengku Adnan, pihaknya akan melaksanakan larangan itu sekiranya harga tambang pengangkutan awam berpatutan.
#Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor #Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar #kapcai
;