Perlu formula terbaik selesai isu tanah Kampung Melayu Puncak Kundang - MB
Harits Asyraf Hasnan
Disember 15, 2019 14:13 MYT
Disember 15, 2019 14:13 MYT
Kerajaan negeri Selangor sedang merangka formula terbaik dalam menangani kemelut yang mendepani penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang di Kuang, Selangor.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya tidak boleh melakukan tindakan terburu-buru lantaran tanah tersebut secara jelas hak milik swasta dan bukan kerajaan negeri.
"Ia (tanah) adalah milik swasta dan bukan milik kerajaan. Kalau tanah milik kerajaan, kita akan bantu dan selesaikan seperti mana di Sungai Kedondong dan tempat-tempat lain dengan memberi pelepasan dan sebagainya.
"Justeru, kerajaan negeri akan membantu mereka selepas mereka dikeluarkan dari tempat tersebut dan menawarkan rumah dan sebagainya," ujarnya pada sidang media selepas melancarkan Program ‘Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi’ di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini hari ini.
Ditanya sama ada kerajaan negeri boleh menjadi orang tengah dalam antara penduduk dan pemilik tanah, Amirudin berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Sallehudin Amiruddin
telah berhubung secara langsung dengan penduduk di situ.
"Sudah pasti, kita punyai ADUN dan telah berhubung dengan mereka. Kita sedang merangka formula terbaik.
"Mereka (penduduk) datang berjumpa dan berhubung dengan pejabat saya dalam dua atau tiga hari sebelum perobohan dan ia mengambil masa yang panjang kerana melibatkan tanah hak milik orang.
"Bayangkan kalau tanah hak milik kita dan orang lain masuk. Selepas itu, orang yang ambil tindakan itu salahkan pihak ketiga iaitu kita sebagai kerajaan. Itu tuduhan tidak adil kepada kita," jelasnya.
Semalam, penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang merayu agar pemaju menangguhkan perobohan rumah mereka untuk memberi ruang kepada mereka membuat persiapan persekolahan anak-anak bagi sesi 2020.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, penduduk terlibat secara dasarnya akur dengan perintah mahkamah, namun meminta perkara tersebut dipertimbangkan.
Perobohan rumah di Kampung Melayu Puncak Kundang mula menjadi perhatian umum selepas tular di media sosial apabila sekurang-kurangnya 15 daripada 67 rumah telah dirobohkan oleh pemaju atas perintah mahkamah Selasa lalu.
Hasil pertemuan antara wakil penduduk dengan Sallehudin Amiruddin pada Jumaat, kerajaan negeri menawarkan Rumah Selangorku kepada penduduk terlibat sebagai salah satu langkah penyelesaian.