Perlu digubal usul dakwa dan pecat Perdana Menteri - Wan Junaidi

Fareez Azman
Julai 11, 2023 23:14 MYT
Menurut Wan Junaidi, perkara berkenaan akan dibincangkan bersama Johari dalam masa terdekat bagi membolehkan peraturan diteliti. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Satu peraturan Dewan Rakyat dalam membenarkan usul mendakwa dan memecat Perdana Menteri perlu digubal dan dibahaskan ahli Parlimen.
Menurut Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perkara berkenaan akan dibincangkan bersama Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat bagi membolehkan peraturan diteliti.
"Negara seperti United Kingdom (UK) sudah memiliki peruntukan sedemikian dengan bekas Perdana Menteri, Tony Blair telah didakwa pada tahun 2004.
"Kita (Malaysia) tidak mempunyai (undang-undang pendakwaan) dan seharusnya ia diperkenalkan. Ia sudah dilakukan di England pada tahun 1800-an.
"Kita patut ada peraturan tersebut, undi percaya atau tidak percaya terhadap kerajaan, kena letak notis (dalam Dewan Rakyat)," jelasnya.
Mengulas lanjut ujarnya, prosiding untuk mendakwa itu merujuk pertuduhan salah laku dibuat terhadap penjawat awam.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam forum bertajuk 'Kestabilan Politik dalam Parlimen Tergantung' pada Selasa.
#ahli Parlimen #Dewan Rakyat #Dewan Negara #penjawat awam
;