AS perlu dedah siapa 'Malaysian Official 1' - Perkasa
Wan Syamsul Amly
Julai 25, 2016 17:44 MYT
Julai 25, 2016 17:44 MYT
Amerika Syarikat (AS) perlu mendedahkan identiti yang disebut dalam dokumen saman Jabatan Kehakiman (DOJ) yang dinamakan sebagai 'Malaysian Official 1'.
Ketua Wira Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata ia sekali gus akan melenyapkan persepsi rakyat negara ini mengenai misteri individu yang dilibatkan dengan syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.
"Gesaan kepada AS itu juga akan mengelakkan sebarang spekulasi terhadap perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita minta kalau boleh AS jelaskan dalam penerangan agar rakyat kita tidak ditipu oleh isu money laundering dan beberapa kes yang amat berat.
"Kita gesa supaya perkara ini jangan ada seperti tutup-tutup, apakah yang 'Malaysian Official 1' lakukan. Kita rakyat Malaysia hendak tahu siapa yang menipu dan ditipu," katanya selepas menghantar memorandum ke Kedutaan AS di sini hari ini.
Memorandum diterima Pegawai Keselamatan Kedutaan AS, Brain Cumming.
Sebelum ini, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menyarankan kerajaan agar bersikap telus dan jujur dalam melaksanakan siasatan mengenai 1MDB.
Tegasnya, pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu menyembunyikan kebenaran dalam perkara berhubung siasatan 1MDB.
Peguam Negara AS, Loretta Lynch sebelum ini memaklumkan beberapa individu menyalahgunakan dana syarikat 1MDB.
Tambah Lynch, individu tersebut memasukkan sejumlah dana ke akaun bank peribadi mereka.
Lynch turut berharap dana yang disalahgunakan ini akan dibawa kembali ke Malaysia.