Perlu beri kesedaran agar rakyat guna air secara berhemah - Amlir Hayat

Astro Awani
Mei 18, 2023 23:26 MYT
Amlir berkata, sikap mementingkan diri dan tidak menggunakan air secara berhemah membuatkan masalah pembaziran air. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini sudah mempunyai kesedaran tentang masalah air namun malangnya masih ramai yang tidak menggunakan air secara berhemah.
Naib Presiden EcoKnights, Amlir Hayat berkata, sikap mementingkan diri dan tidak menggunakan air secara berhemah itu membuatkan masalah pembaziran air.
Beliau berpendapat, usaha-usaha pendidikan tentang penggunaan air secara berhemah perlu dilaksanakan di peringkat sekolah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat.
"Berhemah maknanya apa? Maknanya kita menggunakan air sekadar yang perlu dan apabila perlu sahaja, itu berhemah.
"Saya rasa ini salah satu perkara yang perlu ditekankan bukan sahaja di kalangan awam tetapi bermula dari sekolah.
"Kita ada kira-kira 30 juta rakyat Malaysia, bayangkan kalau satu pertiga atau 10 juta rakyat Malaysia boleh menggunakan air secara berhemah, berapa banyak yang boleh dijimatkan," katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru bertajuk 'Masalah air, bila nak selesai?' pada Khamis.
Amlir berpendapat sekiranya setiap rakyat Malaysia dapat menggunakan air secara berhemah, akan terdapat lebihan air yang boleh dimanfaatkan bersama.
Beliau juga menyarankan agar perkongsian air antara negeri-negeri juga dapat dilaksanakan bagi mengatasi masalah air.
"Saya harap para pemimpin dan pengurusan negeri dapat melihat isu ini secara prihatin, jika orang lain atau negeri mempunyai masalah air, apa salahnya jika kita kongsi.
"Perkara ini kalau dilaksanakan boleh mengatasi masalah air, tetapi dengan syarat kita menggunakan air dengan berhemah," katanya lagi.
Dialog Tiga Penjuru: Masalah air, bila nak selesai?
#penggunaan air #berhemah #Kesedaran #kemarau
;