Perlu ada undang-undang khusus lindungi Jalur Gemilang

Muzaffar Syah Mallow
Ogos 25, 2019 06:44 MYT
Adalah penting supaya bendera negara kita dilindungi daripada menjadi mangsa tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab. -Gambar fail
BENDERA adalah penting terutamanya untuk sesebuah negara. Ini adalah kerana bendera adalah salah satu simbol penting bagi kewujudan sesebuah negara.
Tanpa adanya bendera, agak sukar untuk sesebuah negara itu wujud, dikenali, dihormati dan dipandang tinggi oleh negara–negara lain dalam dunia.
Setiap rakyat yang cintakan negara mereka akan sentiasa mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi bendera negara mereka.
Adalah penting supaya bendera negara kita dilindungi daripada menjadi mangsa tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Bendera negara kita juga harus bebas daripada menjadi mangsa kepada sebarang isu politik ataupun ketidakpuasan hati mana-mana pihak.
Bendera negara kita juga harus dikibar dengan penuh tertib, penuh rasa bangga dan dengan penuh rasa hormat.
Dalam menyambut ketibaan Hari Kemerdekaan rasmi negara yang ke 62 pada 31 Ogos serta sambutan Hari Malaysia yang ke-56 pada 16 September, tindakan sesetengah pihak serta organisasi yang dilihat masih mengibarkan bendera rasmi negara kita iaitu Jalur Gemilang dalam keadaan lusuh, koyak, terbalik dan diubah suai dengan sesuka hati tidak harus diterima oleh mana–mana pihak.
Ini kerana ia bukan sahaja tidak melambangkan semangat patriotisme atau semangat cintakan kepada negara kita, malah ia juga menghantar mesej yang negatif khusus kepada generasi muda serta kepada warga asing atau pelancong yang mengunjungi negara kita.
Adalah penting supaya semua pihak menghormati proses atau tatacara pengunaan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang bagi mengelakan wujudnya sebarang salah faham dalam kalangan orang ramai.
Walaupun tiada peruntukkan undang–undang khusus mengenai tatacara penggunaan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang, beberapa tahun yang lalu pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah menetapkan garis panduan agar penggunaan bendera Jalur Gemilang sentiasa dihormati oleh setiap pihak dalam negara kita.
Antaranya garis panduan yang telah ditetapkan ialah bendera terbabit hendaklah dipasang secara melintang sahaja. Ia tidak boleh dipasang secara menegak sekiranya berkedudukan statik atau tidak berkibar.
Walau bagaimanapun dibolehkan memasang secara menegak sekiranya bendera disambung dalam kuantiti yang banyak (flagline).
Penggunaan bendera dalam bentuk pelbagai seperti pakaian dan sebagainya perlu dielakkan kecuali semasa sambutan bulan kemerdekaan dan jangka masa penggunaannya adalah terhad.
Orang ramai juga tidak boleh menggunakan bendera terbabit dalam perkara yang boleh ditafsirkan sebagai merendahkan martabat bendera Jalur Gemilang itu sendiri seperti dengan menjadikannya sebagai alas meja, kain tudung, payung, songkok, topi, tuala mandi, alas kusyen dan sebagainya.
Penggunaan bendera terbabit dalam pelbagai gaya dan bentuk seperti iklan dalam tujuan mempromosi sambutan bulan kemerdekaan adalah dibenarkan asalkan kreativiti tersebut tidak ditafsirkan sebagai menghina bendera Jalur Gemilang.
Mengibarkan bendera Jalur Gemilang yang telah uzur seperti bendera yang telah pudar warna dan koyak adalah satu kesalahan atau satu bentuk ketidakwajaran. Bendera Jalur Gemilang yang telah pudar warna, koyak dan seumpamanya tidak boleh dikibarkan kerana dianggap sebagai bendera yang sudah uzur.
Pengibaran bendera Jalur Gemilang yang sudah uzur terbabit juga akan menunjukkan rasa tidak hormat kepada bendera tersebut.
Bendera Jalur Gemilang yang yang sudah uzur ini tidak boleh dibuang di dalam tong sampah sebaliknya perlu dimusnahkan dengan cara yang sopan dan dengan penuh rasa hormat seperti dengan dibakar secara tertutup dan bukannya dilakukan di tempat tempat awam.
Bendera kebanggaan negara kita perlu dijaga dan dikibarkan dengan baik, sempurna serta dikibarkan dengan penuh rasa hormat dan bangga pada setiap masa.
Bagi mengatasi sebarang masalah yang melibatkan proses penggunaan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang ini serta mana–mana bendera rasmi yang ada dalam negara kita seperti bendera–bendera setiap negeri, pihak berkuasa yang berkaitan perlu mengambil tindakan yang lebih tegas melalui segala peruntukan undang–undang sedia ada.
Mana–mana individu atau organisasi yang dilihat tidak menghormati terhadap penggunaan dan pengibaran bendera negara kita seperti yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 boleh diambil tindakan.
Walaupun negara kita sudah memiliki pelbagai jenis akta terhadap perkara ini, namun ia tidak menyatakan dengan jelas mengenai aspek penggunaan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang serta bendera–bendera rasmi dalam negara kita.
Oleh yang demikian, pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk mewujudkan satu akta yang lebih khusus bagi menetapkan proses atau tatacara pengunaan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang serta semua bendera rasmi yang ada dalam negara kita.
Dengan adanya akta khusus terbabit, semua pihak dapat ketahui dengan lebih jelas terhadap aspek penggunaan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang serta semua bendera yang rasmi ada dalam negara kita.
Melalui akta khusus terbabit juga, hukuman yang lebih keras dapat dinyatakan dan diberikan terhadap mana-mana pihak yang didapati tidak menghormati proses atau tatacara penggunaan dan pengibaran bendera dalam negara kita.

Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI
#Hari Kebangsaan #hari kemerdekaan #Hari Malaysia #Jalur Gemilang #lindungi bendera negara #MaknaMerdeka #MerdekaKu #simbol penting
;