Perlu ada solusi jangka panjang tangani kos sara hidup rakyat - Young Syefura

Sinar Harian
Julai 6, 2022 10:30 MYT
YOUNG SYEFURA: Peningkatan kos sara hidup bukan sahaja memberi kesan kepada golongan B40, sebaliknya turut memberi kesan sama kepada M40 dan juga T20. - Foto fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menggesa supaya kerajaan mempunyai solusi jangka masa panjang untuk menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata, ia bukan sahaja memberi kesan kepada golongan B40, sebaliknya turut memberi kesan sama kepada M40 dan juga T20.
“Jangan kerana bila ada tekanan, baru nak turunkan harga. Tak jadi tarik subsidi. Perlu buat bersungguh-sungguh dan ada kesan jangka masa panjang.
"Kalau dulu orang kata kalau tak mampu nak beli ayam atau pun ikan makanlah telur. Sekarang telur pun mahal.
“Jadi macam mana dengan nasib mereka yang baru nak mulakan semula kehidupan, baru nak dapatkan pekerjaan, malah mereka yang mempunyai anak yang ramai? Ini yang kita perlu fikir.
"Bukan setakat beri bantuan one-off, tambah lagi bantuan sara hidup. Tetapi perlu ada solusi jangka masa panjang, yang lebih baik untuk masa akan datang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Karangkraf, pada Selasa.
Mengulas mengenai penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Young Syefura berpandangan ia hanya mahu ‘sedapkan hati’ rakyat.
“Kita dah ada kementerian masing-masing. Ada lebih 30 menteri dan timbalan menteri. Apa fungsi mereka?
"Sebelum ini pun sudah ada Majlis Tindakan Kos Sara Hidup, sekarang ini Jihad Tangani Inflasi pula. Adakah disebabkan pilihan raya umum (PRU) dah nak dekat, mereka wujudkan perkara-perkara ini?
“Setiap kementerian ada tanggungjawab masing-masing. Sepatutnya ia digerakkan bersungguh-sungguh untuk memastikan segala isu yang melibatkan kos sara hidup ini dilihat dengan lebih serius,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesediaannya jika dicalonkan di kerusi Parlimen pada PRU akan datang.
Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada keputusan parti.
“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat ataupun dihantar ke mana-mana sahaja ataupun menjadi wakil rakyat untuk kawasan Ketari semula pun tidak ada masalah.
“Sama ada naik ke Parlimen ataupun sebaliknya, bagi saya itu keputusan parti,” ujarnya. -Sinar Harian
#Young Syefura Othman #Peningkatan kos sara hidup #golongan B40 #BSH
;