Perlu ada peralatan canggih untuk jejak penjenayah siber
Syafique Shuib
November 30, 2013 07:55 MYT
November 30, 2013 07:55 MYT
Pihak polis perlu dibekalkan dengan peralatan teknologi canggih untuk menjejak penjenayah siber. Ini kerana jenayah siber seperti skim cepat kaya dalam talian dan ‘Love Scam’ yang menggunakan media sosial kian meningkat, dan melibatkan 593 kes penipuan menerusi laman web dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. Nilai jumlah kerugian pula mencecah RM1.37 juta.
“Agak sukar untuk mengesan penjenayah siber. Mudah untuk mereka menyembunyikan identiti sebenar. Bagi pihak polis, kita memerlukan masa untuk mengenalpasti siapakah yang sebenarnya pemilik akaun Facebook itu,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan.
Tambah penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar, peralatan canggih dapat membantu dan mempercepatkan siasatan.
“Penjenayah siber ini merupakan orang yang mempunyai pembelajaran tinggi jadi agak sukar untuk menangkap mereka,” kata beliau.
Eksekutif Kanan Capaian Luar Cyber Security, Aaron Ikram Mokhtar pula berkata pengguna internet juga harus peka dan tidak mudah terpedaya dengan penjenayah siber.
“Jangan sesekali dedahkan password anda. Jangan gunakan nama dan nombor kad pengenalan untuk password. Jangan beli barang daripada orang yang tidak kita kenali atau daripada emel yang kita tidak minta,” tambah beliau.