Perlu ada mekanisme baharu untuk kemasukan ke sekolah asrama, pemilihan aliran
Israr Khalid
Jun 3, 2022 07:00 MYT
Jun 3, 2022 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) tidak wajar digunakan untuk tujuan kemasukan ke asrama mahupun pemilihan aliran pelajar supaya matlamat asalnya tidak dirosakkan.
Bagi penyelidik pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM, Anuar Ahmad, perlu ada mekanisme baharu untuk menetapkan kemasukan pelajar ke Tingkatan Empat susulan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Beliau berpendapat bahawa PBS perlu berdiri sendiri kerana matlamatnya bukan untuk tujuan masuk ke asrama atau pemilihan ke aliran sains, sastera atau lain-lain tetapi sebagai kayu ukur menilai perkembangan dan perkembangan pelajar dalam pembelajarannya.
“Jika ia (PBS) digunakan untuk tujuan itu, akan wujud keadaan di mana ada sekolah atau pihak yang akan cuba melakukan sesuatu terhadap penilaian itu dan akhirnya kita bimbang tidak telus.
“Kalau tidak kita akan kembali ke sejarah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di mana hasrat asalnya untuk mengukur tahap pencapaian murid-murid sekolah rendah sebelum masuk ke sekolah menengah.
“Tapi bila ia digunakan untuk kemasukan ke asrama, kita lihat persaingan, perlumbaan dan pelbagai lagi perkara berlaku yang tidak menjawab kepada matlamat sebenar pelaksanaannya,” katanya.
Tonton temu bual penuh bersama Anuar dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini: