Perlu ada mekanisma kawal laporan media

Madiha Abdullah
September 5, 2018 15:21 MYT
Murad melihat kepentingan mewujudkan mekanisma dalam mengawal selia parti politik dan agensi media. - Facebook
Menyekat pemilikan media oleh mana-mana parti politik dilihat sebagai langkah terkebelakang yang bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara dalam masyarakat yang mengamalkan demokrasi.
Itu pendapat Profesor Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, USM, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang merasakan apa yang perlu dilakukan kini adalah mewujudkan satu mekanisme untuk mengawal selia segala maklumat yang dikeluarkan oleh media terbabit.
"Mekanisma itu penting kerana ia akan membolehkan parti politik dikawal selia dari semua segi, termasuk pengurusan, etika, tatasusila dan pergerakan maklumat dalam kalangan masyarakat.
"Media juga begitu. Jika kita mempunyai badan seperti Majlis Media, ia boleh berperanan untuk memberi teguran, selain mengawal ketulenan dan kewajaran sesebuah laporan," kata beliau ketika ditemu bual Astro AWANI.
Pada Selasa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo memaklumkan akan membentangkan kertas cadangan dalam mesyuarat Kabinet untuk mengelakkan pemilikan media oleh parti politik.
Ahli Parlimen Puchong itu berkata, satu polisi perlu ditetapkan agar tiada parti politik mempunyai pengaruh di dalam sesebuah organisasi media.
Bagaimanapun, beliau menyatakan keputusan itu harus diputuskan oleh kerajaan selepas beliau membentangkan kertas cadangan tersebut.
#agensi media #Ahmad Murad Merican #berita #Gobind Singh Deo #kabinet #kerajaan #laporan #Media #parti politik #politik
;