Perlu ada komitmen pemimpin untuk selamatkan Harimau Malaya daripada pupus

Ridauddin Daud
September 8, 2022 15:43 MYT
Kini hanya tinggal kira-kira 200 ekor Harimau Malaya di Malaysia dan sekiranya tidak berjaga-jaga, haiwan itu mungkin akan pupus buat selamanya seperti Badak Sumatera. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dunia mengakui, Harimau Malaya merupakan antara khazanah alam yang perlu dipelihara, dijaga sebaiknya agar tidak pupus seperti haiwan-haiwan lain.
Maka, usaha untuk menyelamatkan haiwan itu giat dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas dengan pelbagai strategi direncana dari masa ke masa.
Pakar Teknologi Alam Sekitar, Tan Sri Zakri Abdul Hamid berpendapat Malaysia mungkin boleh mengikut langkah India yang dilihat berjaya meningkatkan populasi Harimau Bengal sejak beberapa tahun lepas.
BACA: MTCC bantu atasi kepupusan harimau Malaya
Menurutnya, kejayaan itu, selain disumbang penguatkuasaan yang ketat, ia juga disumbang komitmen Perdana Menteri, Narendra Modi yang benar-benar mahu usaha memulihara haiwan itu mencapai matlamatnya.
“Saya telah dijemput oleh kerajaan India untuk melawat rizab harimau yang terkenal di Dehradun.
“Selepas sarapan, saya berjalan bersama Ketua Pengarah rizab hidupan liar harimau itu dan sepanjang perjalanan, saya sangat kagum melihat seekor ibu harimau dan dua ekor anak harimau berjalan di sepanjang sungai.
“Saya beritahu beliau, ia sangat mengagumkan. Dia memegang tangan saya, dia berkata, kami pergi ke Malaysia, kami mengkaji rancangan anda, kami kembali dan melaksanakan rancangan anda dan di sinilah kami berada sekarang.
BACA: Tengku Hassanal ikrar lindungi Harimau Malaya
“Pengajaran yang dipelajari di sini ialah kepimpinan politik, komitmen Perdana Menteri Narendra Modi, menempatkan lebih 100 anggota untuk mengawasi kawasan rizab tertentu di India.
“Mereka mempunyai senapang M16 tetapi anggota kita hanya menggunakan senapang patah dan pemburu haram dari negara jiran pula mempunyai pelbagai senjata canggih ketika memburu di Malaysia,” ujarnya.
Tegasnya, kini hanya tinggal kira-kira 200 ekor Harimau Malaya di Malaysia dan sekiranya tidak berjaga-jaga, haiwan itu mungkin akan pupus buat selamanya seperti Badak Sumatera.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk The Politics Of Biodiversity Loss: International Responses & Malaysia dalam program anjuran Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia) di sini pada Khamis.
Harimau Malaya | Jangan buat provokasi, tembak - Takiyuddin
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru semua pihak supaya terus komited dan bersungguh-sungguh menyelamatkan Harimau Malaya yang kini berada di ambang kepupusan.
Baginda bertitah selain tindakan pihak kerajaan, golongan belia juga boleh memainkan peranan dengan memanfaatkan teknologi maklumat untuk mendidik kepentingan harimau dan habitatnya kepada ekosistem hutan serta ancaman dihadapi haiwan itu.
Menurut Tengku Hassanal, agensi kerajaan perlu tegas dalam melindungi hidupan liar dan habitatnya kerana undang-undang tegas bagi melindungi hidupan liar dan kawasan hutan tidak bermakna dan tidak boleh mengekang sindiket pemburu haram jika tiada penguatkuasaan sewajarnya dilakukan.
#harimau Malaya #Perdana Menteri #Narendra Modi #pupus
;