Perlu ada 'killswitch' untuk elak AI melampaui batas - Pakar AI

Israr Khalid
Februari 10, 2023 09:30 MYT
AI berkembang dengan cepat dan langkah berjaga-jaga adalah perlu sebelum ia berpotensi mengancam manusia. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suatu bentuk regulasi untuk mewajibkan setiap pembangun kecerdasan buatan (AI) melengkapkan program dengan suis pemati wajar diwujudkan sebagai langkah keselamatan.
Kata pakar AI, Dr Poo Kuan Hoong, walaupun kemampuan teknologi itu belum lagi terlalu maju, ia berkembang dengan cepat dan langkah itu perlu sebelum ia berpotensi mengancam manusia.
Ketika ini, secara amnya semua AI yang dibangunkan adalah tertumpu untuk melakukan sesuatu tugas spesifik, dipanggil “Artificial Narrow Intelligence” (ANI)
Namun menuju ke hadapan, katanya, sudah pasti potensi AI mahu dikembangkan ke tahap dipanggil “Artificial General Intelligence” (AGI) yang lebih luas keupayaannya, dan ini perlu diberi lebih perhatian.
“Orang ramai perlu sedar bahawa AI berkembang dengan sangat pantas dan lambat laun kita perlu ada seperti jawatankuasa nasional untuk mengawal selia semua syarikat pembangun AI.
“Mereka perlu bangunkan killswitch untuk mematikannya jika sesebuah sistem atau mesin itu menjadi lebih ‘sedar diri’ dan mungkin akan membuat sesuatu yang tidak beretika,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Ujar Kuan Hoong lagi, regulasi itu juga perlu menetapkan supaya potensi AI ada batasnya, seperti tidak berupaya mengubah suai genetik manusia dan hanya terhad kepada genetik tumbuhan dan haiwan misalnya.
Perlu ada killswitch untuk elak AI melampaui batas - Pakar AI
#Dialog Tiga Penjuru #Poo Kuan Hoong #killswitch #AI
;