Perlu ada kesungguhan untuk modenkan sektor pertanian, penternakan
Israr Khalid
Mei 24, 2022 07:30 MYT
Mei 24, 2022 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sektor pertanian dan penternakan negara harus segera dimodenisasikan dalam usaha menggandakan produktivitinya dalam memperkasa sekuriti makanan negara.
Bagaimanapun perkara itu seakan sukar untuk dilaksanakan, di mana Pengarah MINDA-UKM, Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali melihat cabaran terbesarnya adalah kerenah birokrasi untuk menerapkan teknologi terkini dalam sektor tersebut.
Jelas beliau, ianya bukanlah ‘rocket science’ atau dalam erti kata lain terlalu rumit untuk dilaksanakan dan Malaysia sebenarnya mempunyai keupayaan itu tetapi kesulitannya adalah dalam mendapatkan kelulusan.
“Kalau kita duduk (berbual) dengan persatuan-persatuan (penternak dan petani) ini kita akan terkejut mendengar tentang kekangan-kekangan yang mereka hadapi untuk meningkatkan perusahaan mereka.
Beliau memberi contoh fasiliti reban ayam di negara ini yang masih menggunakan kaedah lama sedangkan banyak negara sudah membangunkan fasiliti untuk membiakkan ayam itu dengan cukup canggih.
Selain itu, cabaran itu juga berlaku dalam soal pajakan dan penggunaan tanah misalnya yang tegas Noor Azlan antara banyak perkara yang memerlukan perubahan.
“Kalau kita tak mahu bergantung kepada tenaga buruh yang ramai dari luar, kita kena modenkan tapi persoalannya usaha ini memerlukan pelaburan yang besar dan untuk pelaburan yang besar, kita mesti ada satu komitmen.
“Bagaimanapun semua ini tidak berlaku, minta maaf cakap,” katanya.
Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini: