Perlu ada cara lain daftar vaksin, selain MySejahtera - Masing

Astro Awani
Jun 8, 2021 21:01 MYT
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, pendekatan hibrid 'suntik dahulu, daftar kemudian' memudahkan penduduk di pedalaman. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penggunaan aplikasi MySejahtera sebagai satu-satunya kaedah untuk mendaftar sebagai penerima vaksin umpama mendiskriminasi penduduk di pedalaman.
Ini berikutan kekangan yang dihadapi penduduk pedalaman seperti akses internet dan peranti digital.
Justeru itu, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing, negeri itu tampil dengan kaedah hibrid seperti yang diberitahu oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
"Liputan internet di pedalaman hampir tiada di kawasan rumah panjang dan kampung-kampung. Tidak semua penduduk di pedalaman mempunyai telefon pintar.
"Jadi, pendekatan menggunakan MySejahtera ini hanya memanfaatkan mereka yang tinggal di bandar dan mendiskriminasi penduduk pedalaman," katanya memetik laporan Borneo Post.
Ujar beliau, sekiranya Sarawak hanya bergantung kepada kaedah pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera, maka mustahil bagi negeri itu mencapai imuniti kelompok menjelang Ogos.
Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan kepada media, negeri itu akan menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan tiada yang tercicir dari mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Selain pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera, katanya Sarawak akan menggunakan kaedah hibrid yang melibatkan pendaftaran secara manual selepas pemberian vaksin terutama masyarakat luar bandar.
BACA: Vaksin COVID-19: Sarawak guna pendekatan suntik dahulu, kemudian daftar
#vaksin COVID-19 #Sarawak #Timbalan Ketua Menteri Sarawak #MySejahtera #pedalaman #James Jemut Masing
;