Perlu ada akta larang wakil rakyat jadi pengerusi GLC/ GLIC - Bersih 2.0
Firdaus Azil
Mei 25, 2021 13:24 MYT
Mei 25, 2021 13:24 MYT
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini menggesa semakan semula dilakukan ke atas akta berkaitan yang membenarkan wakil rakyat, menjadi ketua dan pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan semua badan berkanun yang berkaitan dengan komersial.
Dalam satu kenyataan, Bersih 2.0 berkata, Akta GLC yang baharu harus digubal untuk mendefinisikan GLC dengan lebih jelas serta mengawal proses pelantikan pengerusi atau presiden dan pengarah mereka agar telus, berakauntabiliti dan meritokrasi.
Tambah Bersih 2.0 lagi, jawatankuasa pilihan Parlimen harus diberi kuasa untuk meneliti proses pelantikan sebagai satu mekanisme semak dan imbang.
“Pembaharuan seperti itu sangat diperlukan kerana kuasa sekarang sangat tertumpu di tangan Eksekutif, terutama Perdana Menteri.
“Ia telah disalahgunakan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk naungan politik dan penguasaan sumber dengan mengorbankan prestasi, kecekapan dan profesionalisme,” menurut kenyataan itu lagi.
Memetik laporan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Bersih 2.0 berkata, ada kes di mana anggota Eksekutif akan melantik orang kepercayaannya untuk membuat pemantauan, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menjalankan objektif dasar awam yang penting,
Menurut badan itu lagi, pelantikan ahli politik ke dalam GLC mesti dielakkan untuk meminimumkan konflik kepentingan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen harus diberi tanggungjawab menilai setiap pelantikan berdasarkan kelayakan yang berpatutan.
Bagi merealisasikan hasrat untuk melihat pentadbiran GLC dan GLIC, serta badan berkanun yang lebih berintegriti, Bersih 2.0 telah menggariskan empat cadangan untuk dipertimbangkan pihak berkaitan.
"Melarang pelantikan wakil rakyat dalam organisasi ini melalui Akta GLC yang baharu atau dengan pindaan undang-undang yang berkaitan seperti Akta Syarikat.
"Memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneliti dan meluluskan calon pengarah GLIC / GLC / badan berkanun yang berkaitan dengan komersial di bawah kementerian masing-masing. Sistem ini juga dapat dicontohi oleh kerajaan negeri untuk GLIC / GLC / badan berkanun negeri yang berkaitan dengan komersial," kata Bersih 2.0 lagi.
Selain itu, badan tersebut berkata, definisi yang jelas mengenai GLC / GLIC yang berlaku di peringkat negeri dan persekutuan harus dinyatakan dalam Akta GLC baru atau dalam akta yang ada seperti Akta Syarikat.
"Ini akan menjadi asas untuk melembagakan pembaharuan yang berkaitan dengan proses dan keperluan pelantikan pengarah GLC.
"Mempertingkatkan ketelusan dan pendedahan adalah wajib melalui laporan berkala mengenai GLIC / GLC yang tersenarai atau tidak tersenarai yang harus merangkumi maklumat penting seperti imbuhan pengarah, latar belakang pengarah, tawaran tender dan lain-lain. Badan tertentu seperti Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG) harus mengambil tugas ini," kata Bersih 2.0 lagi.
#Bersih 2 0
#akta glc
#undang-undang
#GLC
#Putrajaya
#politik
#mangsa
#kerajaan
#pilihan raya
#Parlimen
#Perdana Menteri
#menteri