Perlis tegas pertahan nama 'Harumanis' sebagai hak milik eksklusif
Salim Aziz
Jun 28, 2020 12:42 MYT
Jun 28, 2020 12:42 MYT
Meskipun mempelam harumanis tumbuh berbuah di tempat lain, Perlis tetap bertegas mahu mempertahankan ikonnya sebagai hak milik eksklusif kerajaan negeri itu.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata setakat ini tiada mana-mana pihak yang diizin mengguna pakai jenama tersebut untuk produk mereka.
Kata Hashim, larangan penggunaan jenama ‘Harumanis’ itu bagi mengelak kekeliruan pengguna terhadap Harumanis Perlis dengan produk mempelam yang sedang diusahakan di tempat lain.
Seperti yang dilaporkan media, mempelam harumanis tumbuh subur di beberapa negeri termasuk Kedah, Terengganu dan Kelantan, yang diberi jolokan sama iaitu ‘harumanis’.
“Kalau dah negeri lain pun nak kembangkan harumanis, kita nak kalau harumanis Perlis mesti dinamakan 'Harumanis Perlis'.
"Jangan yang negeri lain pun tumpang sama; tak bolehlah semua negeri lain nak pakai perkataan harumanis.
"Kalau boleh, harumanis negeri mana supaya masing masing tak terganggu dengan apa yang sepatutnya kita benarkan,” kata Hashim.
Hashim ditemui media di pusat pemasaran harumanis Farma Tani di Kangar.
Dalam pada itu, katanya, walaupun pengusaha luar Perlis mengguna pakai teknik penanaman yang sama, namun kualiti, rasa dan penampilan Harumanis Perlis tetap berbeza dari tempat lain kerana sifat tanah dan faktor cuacanya.
Ketika ini, terdapat sejumlah kira-kira 3,000 pengusaha harumanis berstatus kebun di seluruh Perlis, dengan keluasan 150 hektar tanaman yang menyumbang sehingga kira-kira RM70 juta.
Sebelum ini, nama ‘Harumanis’ secara rasmi telah disahkan sebagai hak milik eksklusif kerajaan Perlis setelah pendaftaran jenama itu diluluskan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 2015.