Perlis permudah daftar perkahwinan rakyat yang bernikah di luar negara

Bernama
Disember 6, 2016 19:20 MYT
Kemudahan bertujuan memastikan umat Islam yang telah bernikah di luar negara atau negara jiran atas pelbagai sebab termasuk poligami agar tidak terbeban dengan urusan mendaftar semula perkahwinan mereka. - Gambar fail
Kerajaan Negeri Perlis sedang meneliti beberapa perkara bagi memudahkan proses pendaftaran pernikahan pasangan Islam di Perlis yang bernikah di luar negara terutamanya di Thailand.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Khairi Hassan berkata ia bertujuan memastikan umat Islam yang telah bernikah di luar negara atau negara jiran atas pelbagai sebab termasuk poligami agar tidak terbeban dengan urusan mendaftar semula perkahwinan mereka di Malaysia.
"Kerajaan negeri memandang serius hal ini supaya dapat mengelakkan masalah pada masa akan datang terutama berkaitan urusan waris, dokumentasi anak, harta, persekolahan dan sebagainya," katanya.
Khairi menjawab soalan yang dikemukakan Mohd Shukri Ramli(PAS-Sanglang)yang mendakwa banyak pengaliran wang keluar atas urusan berkenaan pada persidangan dewan undangan negeri di sini hari ini .
Katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) kini membincangkan agar proses pendaftaran pernikahan kepada mereka yang bernikah di negara jiran terutamanya, tidak perlu lagi melalui perbicaraan di Mahkamah Syariah seperti biasa yang akan mengambil masa lebih lama.
"Di bawah sistem ini nanti, pasangan hanya perlu menyediakan dokumentasi sahih dan lengkap berkaitan dengan pendaftaran nikah mereka di luar negara kepada Mahkamah Syariah dan membayar kompaun yang ditetapkan oleh JAIPs.
Buat masa ini, kami masih belum menetapkan jumlah kompaun itu tetapi berkemungkinan ia akan ditetapkan kira-kira RM2,000 untuk setiap pasangan," katanya.
Khairi berkata perbincangan juga sedang diteliti untuk membenarkan pasangan dari luar Perlis yang berpoligami dan bernikah di luar negara untuk mendaftarkan perkahwinan di negeri ini dengan syarat pasangan berkenaan perlu tinggal (bermastautin) di Perlis untuk lebih daripada tiga hari.
"Bagaimanapun, kuasa mahkamah harus meluluskan permohonan perkahwinan baru itu menerusi satu surat pemberitahuan yang dikeluarkan kepada pasangan (isteri pertama) jika berpoligami," katanya. -- Bernama
#kahwin #Khairi Hassan #nikah di Thailand #Perlis
;