Perlis ke arah Fasa 4 PPN

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 10, 2021 18:00 MYT
Perlis mampu mencapai Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh 10 hari, kata Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Perlis, Azman Mohd Yusof. - Gambar fail BERNAMA
KUALA PERLIS: Peratusan pemberian vaksin kepada rakyat Perlis mampu mencecah kadar 60 peratus menjelang 20 Ogos ini dalam usaha negeri itu mencapai Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, keupayaan itu mampu dicapai dengan syarat jumlah vaksin yang diperuntukkan kepada negeri tersebu tidak dikurangkan oleh kerajaan Persekutuan.
Menurut Azman, untuk mencapai peratusan itu pihaknya mensasarkan 3,000 vaksin diberikan sehari.
Justeru Azman berharap, peruntukan yang ada diberikan kepada Perlis tidak diubah kerana sekiranya diubah, ia akan merencatkan usaha untuk mencapai sasaran berkenaan.
“Bagi dos satu berdasarkan penduduk 181,000 kita telah mencapai kepada 67.75 peratus manakala bagi dos kedua keseluruhan Perlis 49.25 peratus, makna sikit lagi sampai 60 peratus.
“Apabila sampai 60 peratus kita akan mendapat fasa yang seterusnya. Jadi, harapan saya kepada semua pihak di seluruh Perlis untuk menjaga diri masing-masing dan mengambil pendekatan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) sepanjang masa,” kata Azman.
Beliau berkata, berdasarkan status pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Perlis setakat ini menunjukkan peningkatan dalam pendaftaran dan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri itu.
Sehingga semalam, daripada 254,900 rakyat Perlis, seramai 89,255 orang atau 35.01 peratus sudah lengkap dua dos vaksin, manakala 122,719 orang atau 48.14 peratus pula telah menerima satu dos vaksin.
Daripada unjuran populasi itu, 181,200 adalah populasi dewasa dan 49.25 peratus individu berusia 18 tahun ke atas sudah pun lengkap menerima dua vaksin manakala 67.72 peratus lagi baru selesai menerima satu dos vaksin.
Dalam perkembangan sama, Azman berkata, sebanyak 170,214 orang atau 66.8 peratus individu di negeri itu sudah mendaftar untuk diberikan vaksin.
Selain itu, warga emas berusia 60 tahun ke atas dilihat banyak mendaftar untuk divaksin iaitu sebanyak 88.5 peratus.
Manakala bagi individu 18 tahun ke atas sekitar 87.1 peratus dan sebanyak 3,697 dos vaksin diberikan.
Terdahulu, Azman bersama Penyelaras PICK Perlis, Dr Izwana Hamzah melawat dan meninjau operasi pemvaksinan khas yang dilakukan secara 'walk-in' (jumpa terus) kepada sebahagian penduduk Kuala Perlis, hari ini.
Dianggarkan antara 500 hingga 600 orang hadir dalam program berkenaan yang dilaksanakan dalam usaha kerajaan negeri mencegah penularan jangkitan COVID-19 yang begitu meruncing di kawasan berkenaan.
Sementara itu, orang ramai menyifatkan program vaksinasi secara jumpa terus amat baik kerana tidak perlu menunggu lama untuk dipanggil melalui aplikasi MySejahtera.
Bagi seorang penerima, Hawa Sudin, kekecewaan kerana namanya belum dipilih sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera terubat melalui program jumpa terus ini.
Perkara yang sama dikongsi Fazliati Ramli yang turut berpuas hati dengan proses vaksinasi secara jumpa terus yang berlangsung begitu pantas dan tidak perlu menunggu lama.
BACA: Melaka dijangka beralih ke Fasa 2 PPN hujung bulan ini
#Pelan Pemulihan Negara #PPN #Perlis #fasa 4 #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PICK #Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 #CITF
;