Perlis, destinasi pilihan lapan negara hidupkan budaya, warisan rantau Asia

Nickyson Nyambar
September 18, 2024 11:00 MYT
ASEAN-CHINA Heritage ini diwujudkan sebagai program budaya dan warisan yang bercita-cita tinggi dalam menghidupkan kembali warisan budaya yang pelbagai di ASEAN dan China dengan mengadaptasi konsep 'Weaving Futures', kata Arja Lee. -FOTO SCS
KUALA LUMPUR: PENGANJURAN Persidangan Mengenai Cadangan Inisiatif ASEAN-China Heritage Dimensions of National Arts (DNA) yang dianjurkan di Perlis baru-baru ini menjadi penanda aras baharu buat Negeri Indera Kayangan itu.
Persidangan antarabangsa yang disertai tujuh negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja, Laos dan Myanmar serta negara ASEAN-Plus Three (APT) iaitu China membuka ruang buat Perlis untuk memperkenalkan budaya tempatan yang kaya serta unik selain menjadi medan pertukaran ilmu di peringkat antarabangsa.
"Program ini telah berjaya menghimpunkan wakil dari tujuh negara ASEAN bersama wakil dari China di negeri Perlis.
"Sepanjang tujuh hari program ini berlangsung, peserta telah menyertai persidangan dan memperoleh dapatan yang menjurus ke arah kelestarian seni, warisan tekstil yang terdapat di negara masing-masing," kata Pengarah Projek ASEAN-CHINA Heritage DNA, Azharudin Ramli atau lebih dikenali sebagai Arja Lee dalam kenyataan yang dikongsi kepada Astro AWANI pada Selasa.
Ujar beliau, selaku pemegang amanat, sudah menjadi tanggungjawab besar buatnya untuk menyusun rapi segala perancangan yang dilihat telah dilaksanakan dengan jayanya sepanjang program itu berlangsung bermula 8 ke 14 September lalu.
Jelasnya lagi, pengajuran persidangan antarabangsa itu di Perlis bertepatan dengan kempen Melawat Perlis 2024 yang mana para delegasi berpeluang mempelajari keunikan budaya serta keindahan khazanah biodiversiti di negeri berkenaan.
Usaha ini, ujar beliau, dijayakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Society of Creative Symphony (SCS) yang dipimpin oleh anak seni itu yang kini bergelar pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan.
"ASEAN-CHINA Heritage ini diwujudkan sebagai program budaya dan warisan yang bercita-cita tinggi dalam menghidupkan kembali warisan budaya yang pelbagai di ASEAN dan China.
"Program ini mengadaptasi konsep 'Weaving Futures' yang menghubungkan naratif sejarah dan budaya setiap negara, membentuk satu tenunan yang kaya dengan nilai dan tradisi yang dikongsi bersama.
"Inisiatif ini menonjolkan identiti pluralistik yang terdapat dalam ASEAN dan China, menggalakkan para pengamal budaya untuk merenung kearifan yang terkandung dalam cerita-cerita yang dikongsi antara satu sama lain," tambah beliau.
Persidangan itu merangkumi kelas-kelas pakar, bengkel-bengkel, persembahan budaya dan lawatan ke lokasi-lokasi ikonik yang terdapat di negeri Perlis.
Persidangan menyemarakkan lagi perkongsian budaya pelbagai negara di rantau Asia, termasuk memberi penekanan terhadap keindahan budaya dan legasi warisan yang terdapat di Malaysia.
Terdahulu, Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian yang diadakan pada 9 September di Hotel Seri Malaysia.
Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
#persidangan antarabangsa #ASEAN-China Heritage Dimensions of National Arts DNA #Tahun Melawat Perlis 2024 #pelancongan #budaya #ASEAN
;